Siakap Keli

CIMB Peruntuk Komitmen RM200 Juta untuk Pertumbuhan Inklusif

CIMB Peruntuk Komitmen RM200 Juta untuk Pertumbuhan Inklusif

Kuala Lumpur, 30 Jun 2025 – CIMB Group Holdings Berhad (“CIMB” atau “Kumpulan”) hari ini mengumumkan komitmen sebanyak RM200 juta untuk lima tahun (2026 hingga 2030) bagi memperkasa pelanggan dan masyarakat di bawah platform “Kita Bagi Jadi Komuniti”. Komitmen ini memberi fokus utama terhadap tiga aspek – memacu pemerkasaan ekonomi jangka panjang, kesejahteraan komuniti dan keterangkuman kewangan termasuk menyediakan belia, golongan tanpa khidmat bank, dan komuniti kurang mendapat perkhidmatan dengan kemahiran hidup penting seperti literasi digital dan kewangan.

Menteri Digital Malaysia, Gobind Singh Deo hadir di majlis itu termasuk Novan Amirudin, Ketua Pegawai Ekesekutif Kumpulan, CIMB Group dan Gurdip Singh Sidhu, Ketua Pegawai Eksekutif, CIMB Malaysia dan CIMB Bank Berhad, serta Mohd Herman Sarbini, Ketua Pegawai Operasi TNG Digital Sdn Bhd (“TNG Digital”).

Gobind Singh Deo berkata, “Kementerian Digital memuji CIMB yang memainkan peranan proaktif dalam memperkasa komuniti menerusi pembiayaan bersasar untuk usahawan, komuniti berpendapatan rendah dan golongan tanpa khidmat bank. Dengan menyediakan akses lebih luas untuk pembiayaan, pendidikan kewangan dan inisiatif pembangunan kapasiti, CIMB membolehkan semua orang untuk menyumbang secara bermakna kepada ekonomi. Usaha-usaha ini bukan sahaja mempromosi mobiliti sosioekonomi tetapi turut menyokong produktiviti nasional dan daya tahan jangka panjang. Kami menggalakkan lebih banyak pemain industri mencontohi komitmen CIMB dan bekerjasama untuk memastikan semua warga Malaysia menjadi sebahagian daripada transformasi digital negara.”

Novan Amirudin berkata, “Negara-negara dengan ketidaksamaan pendapatan tinggi cenderung untuk menghadapi pertumbuhan yang perlahan dan kurang mampan. Sebaliknya, masyarakat yang inklusif dan berkembang maju yang tidak meninggalkan sesiapa, memanfaatkan semua warganya. Di CIMB, matlamat kami untuk memperkasa pelanggan dan masyarakat adalah ringkas namun berimpak tinggi. Dengan menyediakan akses kewangan lebih luas, kami membantu pelanggan untuk berjaya, dan pulangannya, membantu masyarakat untuk maju ke hadapan bersama kami. Dengan menyediakan individu-individu dan perniagaan kecil dengan kemudahan yang betul samada literasi digital, akses terhadap kewangan, atau kemahiran praktikal, kami membolehkan mereka menyumbang nilai kepada ekonomi. Ini sekali gus memanfaatkan pelanggan, komuniti dan pasaran meluas meliputi kawasan di mana kami beroperasi.”\

“Menerusi komitmen RM200 juta dalam pelaburan komuniti untuk lima tahun akan datang, saya berbesar hati bahawa kami mampu untuk menyediakan sokongan kepada komuniti kurang mendapat perkhidmatan dan komuniti rentan di seantero ASEAN. Selari itu, 33,000 pekerja kami di seluruh rantau ini akan menyumbang 120,000 jam sukarelawan setiap tahun, menyumbang masa dan kemahiran mereka untuk menyokong impak dari akar umbi.”

Sebagai sebahagian daripada platform “Kita Bagi Jadi Komuniti”, CIMB turut melancarkan beberapa program baharu dan bersasar seperti Women Entrepreneur Empowerment Programme yang menawarkan pembiayaan khusus dan rangkaian untuk perniagaan yang digerakkan wanita. Program ini bakal memanfaatkan 300 usahawan wanita dalam tempoh tiga tahun; CIMB dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bermatlamat untuk menjalankan bengkel-bengkel literasi kewangan Jaga Duit, menawarkan program keterangkuman kewangan yang komprehensif bertujuan membantu pekerja-pekerja berpendapatan rendah pelanggan korporat dan PKS CIMB. Menerusi bengkel yang dijalankan di seluruh negara, hampir 1,500 pekerja pelanggan CIMB telah menerima manfaat daripadanya; serta Let’s Duit oleh TNG Digital, program yang dijalankan di seluruh negara menawarkan kemudahan pembayaran digital mudah dipakai, pembelajaran secara hands-on dan ringkas yang telah membantu sekitar 1,000 warga emas dengan ilmu dan keyakinan untuk melindungi diri mereka dan mengemudi ekonomi digital dengan mudah.

Membina asas yang kukuh, CIMB terus mencipta nilai untuk pihak berkepentingannya. Dari 2021 sehingga 2024, CIMB telah mengagihkan lebih RM125 juta untuk pelaburan komuniti, meletakkan Kumpulan di landasan tepat untuk mencapai sasaran RM150 juta menjelang akhir 2025. Pada tempoh sama, CIMB menawarkan lebih RM50 bilion pembiayaan untuk pelanggan berpendapatan rendah dan PKS, mencerminkan peranannya selaku perantara kewangan dalam menggalakkan keterlibatan ekonomi dan impak. Menerusi TNG Digital, Kumpulan telah membolehkan hampir RM1 bilion pengagihan gaji kepada lebih 40,000 pekerja asing, sambil meluaskan akses kewangan kepada pelarian dan pekerja gig.

Pada majlis itu, satu sesi panel, “Turning Intent into Impact” telah dijalankan membincangkan tentang kepentingan kerjasama swasta dan NGO dalam mentransformasi kehidupan, menangani jurang kritikal dalam pendidikan dan memperluas bantuan bencana berkesan dan bantuan makanan ketika krisis. Sesi berkenaan telah dikendalikan oleh Gurdip Singh Sidhu disertai William Cheah, Pengasas Bersama Kembara Kitchen, Fam Li Ying, Ketua Pertumbuhan Teach for Malaysia, Yap Sue Yii, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Komuniti Tukang Jahit, dan Mohd Herman Sarbini.

Siti Sakinah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.