JBPM Rangkul Tiga Pingat Emas Di World Police & Fire Games 2025
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya merangkul tiga pingat emas pada hari keempat Temasya World Police and Fire Games 2025.
Pertandingan yang berlangsung di Birmingham, Alabama, Amerika Syarikat menyaksikan pasukan JBPM mendapat emas dalam kategori Men Physique Age 30 – 39 (1.79m / 5’10” & bawah), Men Physique Age 40 – 49 (1.65m / 5’5” & bawah) dan Men Physique Age 40 – 49 (1.79m / 5’10” & bawah).
JBPM menerusi Facebook berkata ini merupakan percubaan sulung mereka dalam saingan Bodybuilding (Men Physique) di temasya antarabangsa.
BACA JUGA: Bomba Ajar Padam Kebakaran Peringkat Awal Guna Bancuhan Cecair Pencuci Pinggan
“Pada edisi kali ini, kontinjen JBPM diwakili seramai 35 atlet termasuk pengurus pasukan, yang akan bersaing dalam lima acara utama iaitu golf, boling, dart, badminton serta bench press dan push pull.
“Sebagai perbandingan, pada temasya terdahulu pada tahun 2023 di Winnipeg, Kanada, JBPM telah berjaya membawa pulang 18 pingat emas, 19 perak dan 12 gangsa,” katanya.
JBPM juga berharap orang ramai terus mendoakan atlet-atlet JBPM terus cemerlang, bersinar dan mampu membawa pulang pingat yang disasarkan sekali gus mengatasi pencapaian temasya sebelum ini.
Sumber: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia