Utama

Berita

Trivia

Sukan

Berita

Berita

Berita

Berita

Trivia

Sukan

Berita

Berita

Berita

Thailand Bakal Jadi Tuan Rumah Festival Muzik Tomorrowland
BANGKOK — Thailand bakal mencatatkan sejarah apabila dipilih menjadi tuan rumah Festival Muzik Tomorrowland buat kali pertama pada tahun 2026, lapor Bangkok Post.
Perkara itu diumumkan oleh Gabenor Lembaga Pelancongan Thailand (TAT), Thapanee Kiatphaibool sekaligus menandakan satu lonjakan besar dalam usaha negara itu meletakkan Thailand sebagai industri kreatif global.
Ia selepas Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra telah menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Tomorrowland, Bruno Vanwelsenaers dan eksekutif kanan, Filip Teelinck dalam satu pertemuan rasmi pada 25 Jun lalu.
Dalam pertemuan itu, membincangkan secara menyeluruh mengenai kerjasama strategik serta persiapan membawa festival muzik elektronik bertaraf antarabangsa dari Belgium itu ke Asia Tenggara.
Difahamkan, edisi sulung Tomorrowland Thailand dijadualkan berlangsung di wilayah Chon Buri pada tahun 2026.
Langkah ini selari dengan strategi Thailand yang bertujuan memperkukuh kedudukan negara itu menerusi promosi seni, budaya dan ekonomi kreatif sebagai pemacu baharu pertumbuhan.
Menerusi satu kenyataan di media sosial, Perdana Menteri Paetongtarn menyatakan komitmen kerajaan untuk memastikan Thailand bukan hanya sebagai lokasi penganjuran, malah menjadi nadi utama festival berkenaan.
“Tomorrowland di Thailand semakin hampir menjadi kenyataan. Kerajaan komited agar setiap aspek acara ini dipenuhi dengan elemen budaya Thai dan penglibatan rakyat tempatan.
“Ia bukan sekadar acara hiburan, tetapi peluang untuk membuka ruang baharu kepada artis tempatan dan memperkukuh industri muzik tanah air,” ujarnya.
Tambah beliau, projek itu sedang dalam fasa perancangan dan persiapan rapi, dengan penekanan diberikan terhadap manfaat ekonomi, peluang pekerjaan serta lonjakan reputasi Thailand sebagai destinasi acara bertaraf dunia.
Penganjuran Tomorrowland dijangka memberi impak besar kepada sektor pelancongan dan hiburan Thailand, serta membuka peluang baharu dalam industri kreatif serantau.
Untuk makluman, Festival Tomorrowland yang berasal dari Belgium merupakan salah satu muzik festival elektronik paling berprestij di dunia, dengan kehadiran ratusan ribu pengunjung dari seluruh pelusuk dunia pada setiap penganjurannya.
Sumber: Bangkok Post