Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Hanya Tahu Menyalak, Kanak-Kanak 8 Tahun ‘Dibesarkan’ Anjing
THAILAND — Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun diselamatkan daripada sebuah rumah kotor yang dipercayai dijadikan ‘sarang’ penagih dadah di Daerah Laplae, Wilayah Uttaradit, Thailand, lapor The Thaiger.
Difahamkan, mangsa ditemukan dan ‘dijaga’ bersama enam ekor anjing selepas pihak sekolah dan aktivis tempatan menerima aduan berhubung perkara itu.
Presiden Yayasan Kanak-Kanak dan Wanita, Pawina Hongsakul, yang juga ketua operasi berkenaan berkata kanak-kanak yang dikenali sebagai “Boy A” itu tidak pernah bersekolah selama lebih dua tahun.
Difahamkan, kanak-kanak terbabit tinggal dalam keadaan yang tidak terurus bersama ibu dan abangnya yang merupakan penagih dadah.
Disebabkan tiada rakan sebaya dan tidak berinteraksi bersama manusia, kanak-kanak berkenaan dipercayai hanya belajar berkomunikasi dengan cara menyalak seperti seekor anjing.
“Dia tidak bercakap, hanya menyalak. Keadaan kanak-kanak itu sungguh menyayat hati
“Ibunya tidak membenarkan dia ke sekolah sejak mendapat subsidi pendidikan percuma. Selepas mendapat wang, dia tidak membenarkan kanak-kanak berkenaan keluar dari rumah,” tambahnya lagi.
Menurut laporan, kanak-kanak itu hanya pernah mendaftar untuk Tahun 1 tetapi tidak hadir ke sekolah sejak tamat tadika.
Pemeriksaan lanjut mendedahkan rumah tersebut merupakan zon merah aktiviti dadah.

“Kanak-kanak itu tiada sesiapa, hanya anjing untuk dijadikan teman bermain,” kata seorang guru.
Dalam serbuan yang dilakukan bersama pihak polis, ibu dan abang kepada mangsa disahkan positif dadah dan kini berdepan tindakan undang-undang serta rawatan pemulihan segera.
Pejabat Suruhanjaya Pendidikan Asas (OBEC) melalui Timbalan Setiausaha Agungnya, Dr Theer Phawangkanan, memberi jaminan bahawa pihaknya akan memastikan kanak-kanak itu menerima pendidikan yang sewajarnya.
“Anak ini akan diberikan peluang kedua untuk hidup. Kami akan pastikan dia menerima semua sokongan yang diperlukan, dari segi pendidikan mahupun psikologi,” kata Pawina
Operasi menyelamat itu turut membabitkan beberapa agensi termasuk Kementerian Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia serta OBEC.
Kanak-kanak terbabit kini ditempatkan di rumah perlindungan kanak-kanak tempatan dan dijangka memerlukan sokongan jangka panjang bagi membantu proses pemulihan serta penyesuaian semula dalam masyarakat.
Sumber: Thaiger