Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Cemas Anak Sesak Nafas, Wanita Puji Tindakan Pantas Kru AirAsia
Seorang pengguna Facebook, Jacyntha Florentius, baru-baru ini memuji kakitangan AirAsia yang membantu anaknya.
Menurutnya, mereka sekeluarga telah menaiki pesawat AK 115 pada 4 Julai lalu, jam 5:55 pagi, dari Guangzhou ke Kuala Lumpur.
Semasa dalam penerbangan tersebut, tindakan cekap kru AisAsia telah membantu mereka menghadapi satu momen yang amat mengerikan.
Anaknya, Natashya Sofea yang berusia satu tahun tujuh bulan, mengalami sesak nafas secara tiba-tiba.
“Saya mahu berikan pujian kepada staf di bawah,” Jacyntha coret di laman Facebook dan menyenaraikan tujuh kakitangan yang membantunya.
Mereka terdiri daripada Captain Sangeran Surrendran, SFO Muhammad Syafiq Nor’en, SCC Mohd Ridzwan Ong, CC Stephanie Unyang Dungo, CC Nurul Nasuha Mohd Maznan, CC Amirul Ariffin Junaidi dan Mr Alan Vuu, seorang kakitangan Ho Chi Minh.
“Sila berikan ganjaran kepada kakitangan anda kerana mereka telah melakukan kerja yang sangat baik semasa situasi ini,” tambahnya.
Semasa pesawat berlepas, anaknya, Tashya sedang tidur dan hanya bangun selepas setengah jam untuk menyusu seketika.
Namun begitu, Tashya kelihatan seperti tidak keruan dan mula menangis. Lebih merisaukan apabila muka dan bibirnya mula menjadi pucat.
“Tiba-tiba nampak dia tak keruan, sekejap menangis, sekejap diam. Selepas itu muka terus berubah jadi pucat, bibir pucat. Nampak susah bernafas, lemah dan tak memberi tindak balas sangat,” kata Jacyntha.
Dalam usaha untuk membuat Tashya menangis, Jacyntha menepuk bahagian belakang badan dan menggosok tapak tangannya.
Si ibu juga meminta oksigen dari kru kabin yang tangkas bertindak dan selepas diberi oksigen, Tashya kelihatan semakin baik dan bibir kembali menjadi merah jambu.
Tanpa melengahkan masa, kru kabin membuatkan pengumuman, bertanyakan jika ada doktor di dalam pesawat tersebut.
Nasib memihak kepada mereka kerana seorang doktor wanita secara pantas tampil dan memeriksa keadaan Tashya.
“Kru pergi cakap dengan juruterbang juga kalau boleh turunkan sikit ketinggian kapal dan ya juruterbang pun buat kerja dengan pantas,” kata Jacyntha.
Tidak lama selepas itu, juruterbang membuat pengumuman bahawa mereka akan mendarat di lapangan terbang berdekatan untuk mendapatkan pakar perubatan.
Dalam masa 30 minit sebelum pendaratan kecemasan, kru kabin sering datang memantau keadaan Tashya sambil mengurut tangan kaki dan memeriksa nadinya.
Apabila mereka mendarat sahaja di Lapangan Terbang Ho Chi Minh, pasukan perubatan terus naik ke atas pesawat untuk memeriksa keadaaan Tashya dengan serta merta.
Mereka membuat keputusan untuk membawa Tashya ke hospital untuk melakukan pemeriksaan lanjut.
Tanpa melengahkan masa, mereka sekeluarga turun dari pesawat dan terus menaiki ambulans ke hospital. Bagasi mereka juga turut diturunkan oleh kakitangan dengan laju.
Menurut Jacyntha juga, seorang kakitangan AirAsia kekal bersama mereka dari awal sehingga akhir.
Di hospital, Tashya mendapat rawatan yang laju tanpa perlu menunggu dan hanya dalam satu jam, semua pemeriksaan sudah selesai.
“Rawatan Tashya pun semua fast track, tak perlu tunggu. Dalam satu jam sudah selesai rawatan semua termasuk ECG, echocardiogram, x-ray dan lain-lain,” jelas Jacyntha.
Doktor mengesahkan bahawa Tashya tidak mempunyai sebarang masalah serius.
Keadaan sesak nafasnya terjadi oleh sebab tindak balas dalam pesawat yang mungkin disebabkan oleh kekurangan oksigen dalam kabin.
Apabila mereka kembali ke lapangan terbang, kakitangan AirAsia mengaturkan penerbangan ke Kuala Lumpur untuk mereka secara percuma.
Si ibu juga menjelaskan bahawa mereka tidak selalu menggunakan perkhidmatan AirAsia sebelum ini.
Oleh itu, tindakan kru AirAsia menghadapi keadaan ini dengan sangat cekap membuatkannya jelas berasa kagum.
“Terima kasih kepada semua kru kabin dan juruterbang AirAsia AK 115 dari Guangzhou (CAN) ke Kuala Lumpur (KUL) pada 4/7/2025,
“Tak lupa juga kepada groundstaff di Ho Chi Minh (SGN) terutamanya Mr Alan Vuu yang menemani kami sepanjang masa semasa rawatan anak kami, Tashya, di hospital” kata Jacyntha di media sosial.
BACA: Suami Diserang Strok Tatkala Isteri Hidap Kanser, MAINJ Mohon Doa Orang Ramai
BACA: Ketahui Usia Bumi, Cara Saintis Mengetahuinya & Sampai Bila Bumi Akan Bertahan
BACA: Musk Umum Penubuhan Parti Politik Baharu Di Amerika Syarikat