Labubu Jadi Fenomena, Lonjak Kekayaan Pengasas Pop Mart
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) POP MART, Wang Ning dilaporkan memiliki kekayaan bersih mencecah USD1.8 bilion (RM7.6 bilion) hasil kejayaan syarikat berkenaan dalam pasaran figura mainan kotak misteri (blind box).
Menurut laporan E News, kejayaan POP MART didorong oleh sambutan luar biasa terhadap watak ikonik Labubu yang dihasilkan oleh pelukis asal, Kasing Lung. Labubu merupakan watak yang dicipta Kasing dalam buku The Monsters.
POP MART menjual figura tersebut melalui rangkaian produk kotak misteri yang popular di seluruh dunia.
Berasal dari China, Wang Ning memulakan perjalanan sebagai usahawan dengan visi mengubah industri mainan di negaranya. Syarikat POP MART ditubuhkan pada 2010 dan berkembang dengan pesat, sekali gus meletakkan nama Wang dalam senarai jutawan Forbes.
Forbes telah menyenaraikan Wang sebagai individu ke-2,152 terkaya di dunia. Kini berusia 36 tahun, sebahagian besar kekayaan Wang diperoleh hasil pegangan sahamnya dalam POP MART.
Populariti Labubu turut melonjak selepas bintang K-pop terkenal dari kumpulan Blackpink, Lisa bergambar bersama figura tersebut menerusi satu temu bual bersama Vanity Fair.
“Jika saya terbang ke New York, saya pergi ke Miami untuk cuba cari Pop Mart di sana. Paris juga, mana-mana saja. Umpama mencari harta karun,” kongsinya.
Selain Lisa, beberapa nama terkenal dunia turut dikaitkan dengan kegilaan figura ini, antaranya Rihanna, Madonna, Kim Kardashian, Dua Lipa dan David Beckham.
AFP melaporkan fenomena Labubu berupaya meningkatkan imej China sebagai negara yang memiliki syarikat penghasil barangan yang menarik di peringkat global.
Kenyataan tersebut dipetik daripada kata-kata Felo Kanan Asia Tenggara dan Asia Selatan bagi Council on Foreign Relations (CFR), Joshua Kurlantzick.
“Saya tidak pasti sejauh mana. Jika ada, ini memberi kesan kepada imej kerajaan atau negara China,” ujarnya.
BACA: Cipta Sejarah, Julung Kali Alunan Suara InTeam Bergema Di Algeria
BACA: Pelakon Korea Selatan, Lee Seo Yi Meninggal Dunia
BACA: Figurin Labubu Terjual Lebih RM700,000 Dalam Acara Lelongan