Siakap Keli
mais tarik tauliah
Kredit: Bernama

MAIS Tarik Tauliah Mengajar Penceramah Ditahan Polis Sejak 2022

MAIS Tarik Tauliah Mengajar Penceramah Ditahan Polis Sejak 2022

SHAH ALAM, 6 Julai (Bernama) — Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah menarik semula tauliah mengajar agama bagi seorang penceramah bebas yang baru-baru ini ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kes jenayah, sejak tahun 2022.

Pengerusi MAIS Datuk Salehuddin Saidin berkata individu berkenaan juga pernah ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada September 2024 kerana mengajar agama Islam tanpa tauliah.

“Ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, dan kes tersebut masih dalam perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah.

“Dalam kes itu, seorang individu yang juga merupakan seorang daripada pentadbir surau turut disiasat kerana disyaki membenarkan penceramah tersebut mengajar tanpa tauliah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim dilaporkan berkata pihaknya sedang menyiasat kes melibatkan penyebaran video lucah oleh seorang penceramah bebas.

Mohd Iqbal berkata siasatan dibuat susulan laporan polis yang diterima daripada seorang wanita, iaitu isteri kedua kepada lelaki berkenaan, pada 16 Jun lalu, mendakwa penceramah itu menyebarkan video hubungan intim dirinya bersama madunya serta beberapa wanita lain.

Sementara itu, Salehuddin berkata, sejak 2022, MAIS telah menarik semula tauliah mengajar agama terhadap 35 individu atas pelbagai pelanggaran syarat, termasuk mengajar ajaran yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, terlibat dalam perlakuan jenayah dan memegang jawatan politik.

“Beberapa individu juga kini digantung tauliahnya sementara siasatan dibuat menurut undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

BACA: Penceramah Bebas Disiasat Kes Sebar Video Seks Isteri

Beliau turut mengingatkan pihak masjid dan surau di Selangor serta umat Islam agar hanya menjemput penceramah yang memiliki tauliah sah yang dikeluarkan oleh MAIS.

Katanya, JAIS sentiasa memantau perkara itu dan tindakan undang-undang serta tatatertib sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan.

MAIS turut melahirkan rasa kesal terhadap sikap segelintir individu yang masih meneruskan aktiviti mengajar agama di Selangor tanpa tauliah sah atau selepas tempoh tauliah tamat.

“Malah, terdapat juga penceramah yang memiliki tauliah tetapi melanggar syarat serta etika yang ditetapkan. Situasi ini berlaku antara lain disebabkan oleh kegagalan sebahagian pentadbir masjid dan surau memantau latar belakang penceramah yang dijemput.

“Sikap sedemikian boleh mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat serta menjejaskan imej Islam dan institusi agama secara keseluruhan. Jika dibiarkan, ia boleh membuka ruang kepada penyelewengan dalam pengajaran agama Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa semua dasar dan ketetapan yang dibuat oleh MAIS telah melalui pertimbangan teliti dan telah disembah maklum serta diperkenankan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, selaku Ketua Agama Islam negeri.

“Segala dasar dan ketetapan ini demi menjaga kemaslahatan dan kepentingan umat Islam di Selangor,” katanya.

Sumber: Bernama

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.