Lebih 7,000 Pengusaha Bas Sekolah Belum Berdaftar – Persatuan
KULAI, 8 Julai (Bernama) — Lebih 7,000 pengusaha bas sekolah di seluruh negara masih belum berdaftar dengan mana-mana persatuan pemandu bas sekali gus menimbulkan kebimbangan berhubung tahap keselamatan pelajar yang menggunakan perkhidmatan mereka.
Presiden Gabungan Pengusaha dan Pemandu Bas Sekolah Malaysia Dr M. Muruga menyifatkan situasi itu sebagai “bom jangka” kepada keselamatan jalan raya, terutama kepada pelajar sekolah yang dianggap permata negara.
Keengganan sebahagian besar pengusaha mendaftar walaupun yuran keahlian hanya RM40 setahun, menurut beliau menyebabkan mereka terlepas pelbagai manfaat penting disediakan persatuan termasuk aspek keselamatan, penyelenggaraan dan perlindungan undang-undang.
“Kita menyediakan taklimat percuma sepanjang tahun, termasuk tentang keperluan insurans, cara mengendalikan kecemasan, penyelenggaraan brek, tayar dan aspek teknikal lain serta kemudahan nasihat teknikal dan perundangan kepada ahli.
“Mereka yang berdaftar juga dibimbing cara membeli insurans yang betul untuk murid dan kenderaan. Ada yang tidak tahu murid perlu dilindungi insurans khas, bukan insurans kenderaan sahaja,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Muruga berkata persatuan juga sering mengadakan bengkel bersama Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) termasuk pemeriksaan kenderaan secara percuma menjelang musim persekolahan atau perayaan.
Sebelum pandemik COVID-19, beliau berkata hampir 18,000 pengusaha bas sekolah direkodkan di negara ini, namun selepas penguatkuasaan larangan terhadap bas berusia lebih 30 tahun, jumlah itu menurun kepada kira-kira 12,000, dengan hanya 60 peratus daripadanya berdaftar dengan persatuan.
Muruga, 70, berkata statistik tidak rasmi menunjukkan lebih 85 peratus pengusaha kini terdiri daripada warga emas dan ibu tunggal, terutama di negeri seperti Sabah dan Sarawak, dengan beliau juga masih melakukan pekerjaan itu sejak lebih 30 tahun lepas.
Selain itu, beliau berpandangan kaedah mendaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) melalui iSPKP (Sistem Pelesenan Kendaraan Perdagangan) bagi mengusahakan bas sekolah perlu dilihat semula kerana kelulusan tidak mengambil kira pengalaman dan rekod lepas pemohon.
Sehubungan dengan itu, gabungan berkenaan meminta kerajaan mewajibkan keahlian persatuan sebagai antara syarat permohonan lesen pengendali melalui sistem itu, memandangkan persatuan sentiasa memainkan peranan membantu meningkatkan kesedaran pengusaha bas terhadap aspek keselamatan.
Semalam, sebuah van sekolah membawa 22 murid melanggar belakang treler yang berhenti akibat kerosakan enjin di lorong kecemasan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat susur Bandar Dato’ Onn di Johor Bahru menghala arah utara, menyebabkan empat kanak-kanak dan pemandu kenderaan itu cedera.
Muruga berkata van seperti itu lazimnya hanya sesuai membawa 18 murid sekolah rendah atau 12 dewasa maksimum, menunjukkan berlaku kesalahan besar kerana melanggar kapasiti ditetapkan.
BACA: Penceramah Bebas Direman Bantu Siasatan Kes Tipu Pembangunan Sekolah Agama
BACA: Insiden Putra Heights: Amirudin Jelaskan Isu Jengkaut, Dakwaan PBT Tidak Ikut SOP
BACA: Malaysia, Indonesia Bakal Buka Lebih 10 Pintu Sempadan Baharu – Saifuddin Nasution
Sumber: BERNAMA