Perjanjian Perdagangan: Malaysia Komited Teruskan Libat Urus Bersama AS
Kerajaan Malaysia mengambil maklum mengenai pengumuman terbaharu oleh Kerajaan Amerika Syarikat (AS) berkenaan pelaksanaan kadar tarif balas sebanyak 25 peratus ke atas eksport Malaysia ke AS, yang dijadual berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2025.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan menegaskan bahawa Malaysia amat menghargai hubungan ekonomi dan perdagangan dua hala yang telah lama terjalin dengan AS, dan mengiktiraf peranan penting perdagangan terbuka serta adil dalam menyokong pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan di kedua-dua negara.
Sehubungan itu, Malaysia komited untuk terus melaksanakan libat urus dan perbincangan secara membina bersama AS, bagi mencapai perjanjian perdagangan yang seimbang, menyeluruh dan saling menguntungkan.
“Secara khusus, MITI akan meneruskan perbincangan secara berterusan dan berlandaskan semangat muafakat bersama pihak berkuasa AS bagi menangani isu-isu yang masih belum selesai, memperjelas skop serta kesan tarif yang diumumkan, dan meneroka jalan penyelesaian bagi menamatkan rundingan dalam jangka masa yang wajar.
“Usaha-usaha ini masih diteruskan dan mencerminkan kesediaan Malaysia untuk mencapai hasil yang adil dan mampan bagi kedua-dua pihak.
“Walaupun kami mengambil maklum terhadap kebimbangan yang dibangkitkan oleh AS berkenaan ketidakseimbangan perdagangan dan akses pasaran, Malaysia percaya bahawa pendekatan melalui libat urus dan dialog yang membina merupakan jalan terbaik ke hadapan,” maklum MITI.
AS Rakan Dagang Kedua Terbesar Malaysia
Menurut MITI, AS merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia serta destinasi eksport utama negara.
Pada 2024, jumlah dagangan Malaysia-AS meningkat hampir 30 peratus kepada RM324.9 bilion (USD71.4 bilion), dengan nilai eksport Malaysia ke AS mencecah RM198.7 bilion (USD43.7 bilion), manakala import pula berjumlah RM126.3 bilion (USD27.7 bilion).
“Malaysia berpandangan bahawa langkah unilateral boleh menjejaskan kelancaran operasi perniagaan, rantaian bekalan serta aliran pelaburan yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
“Malaysia yakin bahawa penyelesaian secara bersama boleh dicapai demi melindungi kepentingan negara serta rakyat kedua-dua belah pihak, dan memastikan perdagangan serta pelaburan dua hala terus menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi yang mampan,” tambah MITI.
Dalam pada itu, MITI menegaskan komitmen Kerajaan Malaysia untuk melindungi kepentingan para peniaga, pekerja dan pengguna dalam negara, dan akan mengambil langkah-langkah perlu bagi mengurangkan kesan daripada pelaksanaan tarif baharu tersebut.
BACA: Amerika Syarikat Kenakan Tarif 25 Peratus Ke Atas Semua Produk Malaysia
BACA: Malaysia, Indonesia Bakal Buka Lebih 10 Pintu Sempadan Baharu – Saifuddin Nasution
BACA: 9 Ahli Parlimen PKR Mesti Bertanggungjawab Jika Kerajaan MADANI Tumbang – Hassan
Sumber: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI)