Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Segerakan Pengisian Jawatan Hospital Di Johor – Tunku Mahkota Ismail
JOHOR BAHRU, 8 Julai (Bernama) — Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail hari ini menitahkan kerajaan Persekutuan agar segera mengisi kekosongan jawatan dalam sektor kesihatan bagi mengatasi kesesakan luar biasa yang membelenggu beberapa hospital utama di negeri ini.
Baginda menzahirkan kebimbangan terhadap keadaan kritikal di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI), Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim dan beberapa hospital lain yang terjejas akibat kekurangan tenaga kerja.
“Saya ingin menitahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) agar tindakan segera dapat diambil untuk menempatkan petugas kesihatan agar hospital ini dapat beroperasi sepenuhnya dan memenuhi keperluan kesihatan Bangsa Johor.
“Saya juga menyeru agar kerajaan Persekutuan menyegerakan proses kelulusan dan pengisian jawatan yang tidak diisi dan menyebabkan kesesakan luar biasa di hospital-hospital di negeri ini seperti Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI), Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim dan lain-lain hospital yang berdepan isu kekurangan kakitangan kesihatan,” titah baginda.
Baginda turut menekankan bahawa perkhidmatan kesihatan bukanlah satu kemewahan, sebaliknya merupakan hak asas rakyat yang wajib dipenuhi.
“Kesejahteraan Bangsa Johor adalah keutamaan buat saya. Keutamaan ini tidak akan saya abaikan dan saya akan terus bersuara agar suara Bangsa Johor tidak tenggelam dalam hiruk-pikuk pentadbiran dan prosedur.
“Perkhidmatan kesihatan bukan satu kemewahan, ia adalah hak asas yang sepatutnya dapat dinikmati oleh setiap rakyat, tanpa perlu menunggu lama dan tanpa perlu rasa terabai,” titah baginda.
Pada 29 Jun lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata HPG yang diserahkan secara rasmi kepada KKM akan beroperasi secara berfasa mulai 1 Ogos ini.
Beliau berkata fasa awal operasi Hospital Pasir Gudang akan merangkumi perkhidmatan mustahak seperti Kecemasan (A&E), Obstetrik dan Ginekologi serta Pediatrik, dengan 274 perjawatan telah diisi setakat 29 Jun lepas dan sasaran operasi penuh melibatkan 1,845 petugas menjelang Julai 2026.
Sumber: Bernama
BACA: Tunku Mahkota Ismail Cadang Gaji Minimum RM4,000 Untuk Lepasan Universiti Di JS-SEZ
BACA: JAKIM Rangka Modul Khas Bendung Fahaman Ekstremis Dalam Kalangan Pekerja Asing