Emirates, Dubai Duty Free Bakal Benarkan Pembayaran Kripto
Penumpang yang melalui Dubai tidak lama lagi berpeluang membayar tiket penerbangan dan barangan bebas cukai menggunakan mata wang kripto.
Inisiatif ini susulan dua perjanjian penting yang dimeterai oleh syarikat penerbangan Emirates Airline dan Dubai Duty Free bersama platform aset digital global, Crypto.com.
Kedua-dua syarikat itu telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Crypto.com untuk meneroka pelaksanaan sistem pembayaran menggunakan mata wang kripto kepada pelanggan.
Usaha ini turut mengukuhkan kedudukan Dubai sebagai hab utama inovasi digital di peringkat global.
Pembayaran Kripto di Premis Lapangan Terbang
Dubai Duty Free, yang merekodkan jualan melebihi AED4.1 bilion dalam tempoh enam bulan pertama 2025, mengesahkan kerjasama terbaharu itu bagi meneroka penerimaan pembayaran menggunakan mata wang digital di premis fizikal dan dalam talian.
Inisiatif ini bertujuan memberi lebih banyak pilihan dan fleksibiliti kepada pelancong, sejajar dengan perubahan trend pembayaran dalam kalangan pengembara antarabangsa.
Pengarah Urusan Dubai Duty Free, Ramesh Cidambi berkata, MoU tersebut membuktikan komitmen syarikat terhadap inovasi dan usaha berterusan untuk menyediakan kemudahan serta pilihan yang lebih luas kepada pelanggan.
Kedua-dua pihak juga akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan dan membangunkan sistem pembayaran kripto bersama, termasuk kempen pemasaran strategik serta penggunaan alat penglibatan digital.
Kerjasama ini bertujuan meningkatkan pengalaman membeli-belah pengguna selain menyokong matlamat transformasi digital yang sedang giat dilaksanakan di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Emirates Sasarkan Penumpang Celik Teknologi
Syarikat penerbangan Emirates juga menyertai inisiatif ini melalui MoU yang sama.
Kerjasama dengan Crypto.com dijangka menyaksikan pengintegrasian sistem Crypto.com Pay ke dalam platform tempahan dan pembayaran Emirates menjelang tahun hadapan.
Ini akan membolehkan pelanggan membayar tiket penerbangan dan perkhidmatan lain menggunakan mata wang kripto.
Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Komersial Emirates, Adnan Kazim berkata, langkah tersebut sejajar dengan usaha Dubai untuk menerima pakai teknologi masa depan dan menarik minat penumpang muda yang celik digital.
“Langkah ini menunjukkan komitmen Emirates dalam memenuhi kehendak pelanggan yang sentiasa berubah, sambil menarik generasi baharu pengguna yang mahir teknologi,” katanya.
Tambah beliau, inisiatif ini juga seiring dengan aspirasi Dubai untuk menjadi peneraju dalam bidang inovasi kewangan global.
Sumber: Gulf News, HH Sheikh Ahmed bin Saeed Al Maktoum
BACA: Anda ‘Wajib’ Tahu, Ini Kesan Penurunan OPR Kepada Rakyat
BACA: Hubungan Malaysia-AS Dijangka Terkesan, Rantaian Perdagangan Terganggu Susulan Tarif Baharu