Galeria Sri Perdana Kini Dibuka Semula Untuk Kunjungan Orang Ramai
Galeria Sri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia ke-4, kini dibuka semula kepada umum selepas menjalani proses menaiktaraf dan pemuliharaan. Galeria ini bukan sahaja mengekalkan nilai sejarah yang tinggi, tetapi sebagai gedung ilmu dan pusat pelancongan pendidikan.
Menelusuri sejarahnya, bangunan ini asalnya dikenali sebagai Sri Timah, kediaman milik Malaysia Mining Corporation sebelum diambil alih oleh kerajaan dan dijadikan kediaman rasmi Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad sekeluarga dari tahun 1983 hingga 1999. Galeria ini telah diserahkan kepada Arkib Negara Malaysia pada 3 Ogos 2000 dan dibuka kepada umum pada tahun 2013.
Namun, akibat pandemik COVID-19, Galeria ini ditutup pada tahun 2020–2021 dan kemudiannya ditutup sementara mulai 1 Januari 2023 bagi memberi laluan kepada Projek Menaiktaraf dan Memulihara Peragaan Bangunan. Projek ini diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) dan siap sepenuhnya pada 17 Disember 2024.
Galeria yang merangkumi tiga tingkat galeri pameran dan satu blok pejabat pentadbiran, kini memaparkan lebih 3,500 memorabilia termasuk koleksi perabot, kenderaan, dokumen dan pakaian milik Tun Dr. Mahathir. Para pelawat berpeluang menjelajahi ruang-ruang seperti Bilik Tidur, Ruang Makan Keluarga dan Bilik Mesyuarat yang pernah digunakan oleh beliau dan keluarga.
Sebagai pusat pelancongan pendidikan, Galeria Sri Perdana akan menjadi platform bagi pelaksanaan program seperti lawatan berpandu, pameran tematik, forum sejarah, bicara tokoh dan aktiviti kesenian. Galeria Sri Perdana dibuka kepada orang ramai setiap hari Selasa hingga Ahad, dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang dan ditutup pada hari Isnin, kecuali musim cuti persekolahan.