Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Polis Indonesia Tumpaskan Sindiket Seludup Bayi Antarabangsa, Selamatkan Enam Bayi
JAKARTA, 16 Julai (Bernama) — Polis Indonesia menumpaskan sindiket pemerdagangan bayi antarabangsa yang dipercayai beroperasi sejak 2023, dengan menyelamatkan enam bayi dan menahan 12 suspek dalam satu operasi besar-besaran merentasi beberapa wilayah.
Menurut polis, lima bayi ditemukan di Pontianak, Kalimantan Barat di pulau Borneo dan dibawa ke ibu pejabat polis Jawa Barat, manakala seorang lagi bayi diselamatkan di kawasan Jakarta Raya.
Jurucakap polis Jawa Barat, Komisioner Hendra Rochmawan berkata para suspek memainkan pelbagai peranan dalam sindiket itu, termasuk merekrut bayi yang masih dalam kandungan, menjaga mereka serta memalsukan dokumen seperti sijil kelahiran dan pasport.
Polis turut merampas dokumen pengenalan diri palsu, pasport dan surat pemilikan semasa penahanan dibuat.
Pengarah Siasatan Jenayah Am Jawa Barat, Komisioner Surawan berkata, seorang daripada suspek memaklumkan bahawa lima daripada bayi yang diselamatkan itu dijadual dihantar ke Singapura menggunakan dokumen palsu.
“Seorang lagi bayi diselamatkan di Tangerang, wilayah Banten, empat hari lalu,” katanya, sambil menambah bahawa ibu kandung bayi berkenaan dibayar antara IDR11 juta hingga IDR16 juta (kira-kira US$740 hingga US$1,070).
Siasatan yang bermula selepas seorang ibu membuat laporan berhubung kes penculikan bayi, telah membawa kepada penemuan rangkaian pemerdagangan lebih luas melibatkan bayi yang dipercayai berasal dari pelbagai kawasan di Jawa Barat.
Polis kini bekerjasama dengan Bahagian Perhubungan Antarabangsa Polis Indonesia bagi menyiasat kemungkinan kaitan rentas sempadan dalam kegiatan itu.
Sumber: Bernama
BACA: Kandang Lembu Jadi Transit Dadah, Pemilik Berisiko Jadi ‘Orang Tengah’