Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tiada Kaitan Dengan Jeruk, Ini Kisah Asal Usul Nama “Pickleball” 

Azizah Najib
Kisah asal usul Pickleball
Kredit: Bernama

Tiada Kaitan Dengan Jeruk, Ini Kisah Asal Usul Nama “Pickleball”

Sukan pickleball mendapat sambutan secara tiba-tiba di seluruh dunia, termasuk Malaysia. Sukan ini digelar sebagai antara sukan paling pesat berkembang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Gabungan elemen daripada badminton, ping pong dan tenis menjadikan sukan ini mudah untuk dimainkan oleh semua peringkat umur.

Popularitinya yang melonjak turut menarik perhatian komuniti sukan antarabangsa sehingga mencetus minat ramai untuk mengetahui lebih lanjut tentang sejarahnya.

Dari mana asal usul nama pickleball? Jika diterjemah secara terus, nama sukan ini begitu pelik kerana dinamakan bola jeruk.

Namun, benarkah jeruk memainkan peranan penting dalam pemilihan nama bagi sukan ini? Ada juga yang mengaitkan nama sukan ini dengan anjing peliharaan seseorang. Apa pula kaitan jeruk dengan anjing?

Sejarah kemunculan permainan pickleball

Sebenarnya sukan pickleball ini sudah lama wujud iaitu sekitar tahun 1965. Pencipta sukan ini merupakan Wakil Rakyat Washington, Joel Pritchard bersama jiran-jirannya.

Dikatakan sukan ini tercipta ketika mereka mencari permainan yang boleh dimainkan di luar bersama keluarga menggunakan peralatan sukan yang dipilih secara rawak.

Biarpun begitu, anaknya, Frank Pritchard menyangkal kisah tersebut.

Menerusi temu bual bersama Mental Floss, Frank mengakui sukan tersebut tercipta untuk mengelakkan dia merungut ketika mereka sekeluarga bercuti di Bainbridge Island. Ketika itu, Frank berusia 13 tahun.

“Saya merungut. Saya kata pada ayah tiada apa yang boleh dibuat,” ujarnya.

Mendengar rungutannya, Joel mencadangkan kepadanya untuk mencipta permainan sendiri.

“Saya jawab, jadi ciptalah satu permainan sekarang,” tambahnya.

Berikutan itu, Joel dan beberapa orang jiran, iaitu Bill Bell dan Barney McCallum, cuba fikirkan satu permainan.

Mereka menggunakan gelanggang badminton lama, pemukul ping pong dan sebiji bola whiffle, sejenis bola plastik berlubang. Bagi mencipta set peraturan buat pertama kalinya, mereka banyak merujuk peraturan badminton.

Ketika itu, permainan tersebut belum diberikan sebarang nama.

Jadi bagaimana nama pickleball boleh terpacul di mulut?

Kredit: Bernama

Asal usul nama permainan pickleball

Frank mengesahkan nama pickleball merupakan hasil ciptaan ibunya, Joan. Ketika Joan menuntut di Marietta College, dia merupakan salah seorang peminat program sukan dayung.

Selepas mendirikan rumah tangga bersama Joel, Joan mengikuti program sukan dayung Universiti Washington.

Dalam sukan ini, istilah pickle boat digunakan terhadap bot yang terdiri daripada pendayung yang gagal mendapat tempat dalam bot pertama dan kedua.

Melihat bahawa permainan yang dicipta oleh Joel merangkumi pelbagai aspek daripada sukan lain, permainan berkenaan sesuai dinamakan sebagai pickle ball.

Begitulah tercetusnya ilham permainan pickleball. Nama yang pada awalnya kedengaran begitu janggal, kini menjadi simbol kepada salah satu sukan terpantas berkembang di dunia.

Sumber: Mental Floss, Pickleball Hall of Fame

BACA: Biodata Wan Ahmad Farid, Ketua Hakim Negara Baharu

BACA: Ahli Astronomi Saksikan Detik Pembentukan Sistem Solar Buat Kali Pertama