Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kuala Lumpur, 1 Ogos – Jabatan Alam Sekitar (JAS) komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh pengurusan e-waste dan pencegahan jerebu yang melanda negara.
Menurut Ketua Pengarah Alam Sekitar, Dato’ Wan Abdul Latiff bin Wan Jaffar, sisa elektrik dan elektronik atau e-waste semakin meningkat seiring penggunaan peralatan digital yang meluas pada masa kini.
“Berdasarkan rekod Jabatan Alam Sekitar (JAS) dari 1 Januari 2021 sehingga 30 Jun 2025, jumlah keseluruhan e-waste yang telah diproses oleh premis berlesen di bawah JAS adalah sebanyak 536,709.04 metrik tan (MT) di seluruh negara,” katanya dalam satu sidang media semalam.

Sehubungan itu, JAS telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan pengurusan e-waste, antaranya memperluaskan fasiliti pemerolehan kembali e-waste berlesen. Sehingga kini, sebanyak 128 fasiliti pemerolehan kembali e-waste dibina di seluruh negara.
Selain itu, JAS kini giat memperkasa kempen kesedaran awam bagi menggalakkan pelupusan peralatan elektrik terpakai melalui saluran yang selamat.
JAS turut meningkatkan penguatkuasaan terhadap pengurusan e-waste tidak berlesen melalui Ops Hazard di mana 351 tindakan undang-undang telah diambil di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.

Selain itu, isu jerebu turut menjadi fokus utama kerana ia turut memberi impak kesihatan yang serius kepada masyarakat. JAS sentiasa memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melalui 68 stesen pemantauan kualiti udara di seluruh negara setiap jam bagi tempoh 24 jam sehari melalui Pusat Data Kualiti Alam Sekitar (EDC) di Putrajaya.
Di peringkat antarabangsa, Malaysia terus bekerjasama dengan negara-negara jiran melalui ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution bagi menyelaras tindakan pencegahan dan mitigasi kebakaran tanah serta hutan di rantau ini.
Melalui platform ini, Malaysia turut menyuarakan pelbagai cadangan dan inisiatif kepada negara jiran untuk membanteras isu kebakaran terbuka yang boleh menyebabkan jerebu merentas sempadan.
Di peringkat domestik, pelbagai tindakan turut dilaksanakan dengan segera termasuk Penguatkuasaan undang-undang dan rondaan di kawasan panas (hotspot) , pemadaman kebakaran terbuka bersama agensi berkaitan dan perwakilan kuasa kepada 13 agensi lain.

Bermula 7 Julai 2025 dan berkuat kuasa pada 8 Julai 2025, JAS telah mewakilkan kuasa kepada 13 agensi terlibat bagi memperkukuh pendekatan Whole of Government. Langkah ini merupakan inisiatif strategik bagi memperkukuh pelaksanaan tindakan penguatkuasaan di lapangan, terutamanya dalam menangani isu pembakaran terbuka yang menyumbang kepada situasi jerebu.
Pewakilan kuasa ini membolehkan tindakan segera, bersepadu dan lebih menyeluruh dapat dilaksanakan dengan pantas oleh agensi-agensi berkaitan.
Sebagai langkah kesiapsiagaan dan penyelarasan yang lebih komprehensif, Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan turut telah diaktifkan sejak 26 Februari 2025 bagi menyelaras tindakan-tindakan agensi Kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara.
Sehingga 30 Julai 2025, JAS telah melaksanakan 4,247 rondaan darat, 859 penerbangan dron untuk memantau aktiviti pembakaran terbuka.
JAS juga telah mengeluatkan 58 Notis Arahan, 27 tindakan mahkamah dan 59 kompaun terhadap pihak yang melakukan kesalahan berkaitan pembakaran terbuka.
JAS menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan segera melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan melalui talian bebas tol 1-800-88-2727.