Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Padah Cuba “Selfie” Dengan Gajah, Lelaki Cedera Parah Dipijak
Gajah merupakan salah satu haiwan yang sentiasa mendapat perhatian ramai kerana ia mempunyai keunikan yang tersendiri. Selain saiznya yang besar dan tinggi, gajah juga dikenali sebagai haiwan yang mempunyai kecerdasan dan emosi yang sangat kompleks.
Tidak hairan jika ia dikerumuni pengunjung di zoo atau safari. Kebiasaannya, gajah-gajah disitu akan dijaga dengan baik dan dilatih, menjadikannya sedikit jinak.
Namun berbeza pula jika di luar iaitu di kawasan hutan, kebanyakan gajah-gajah liar akan merasa terancam dengan kehadiran manusia.
Baru-baru ini, tular satu kejadian di barat daya India yang memaparkan seorang pelancong lelaki dipijak gajah selepas cuba untuk berswafoto dengan haiwan itu.
Memetik Daily Mail, pelancong itu dilaporkan telah menceroboh hutan larangan berhampiran sebuah kuil ketika kejadian.
Rakaman video yang tular menunjukkan gajah itu berdiri di tepi jalan sebelum menaikkan belalainya dan menyerbu jalan di hadapan kereta yang sedang bergerak. Haiwan itu kemudian mengejar pelancong terbabit dan suaranya turut kedengaran sangat kuat ketika itu.
Sedar akan bahaya yang mengejar, pelancong itu dilihat berpusing dan melarikan diri ke jalan raya yang sibuk. Bagaimanapun, ia tidak berakhir dengan baik apabila lelaki tersebut jatuh tersungkur di atas jalan.
Setelah itu mamalia terbabit memijaknya beberapa kali dan menyebabkan seluarnya juga tertanggal. Gajah terbabit berdiri di atas pelancong itu untuk beberapa ketika sebelum beredar.
Lelaki itu pula berjaya melarikan diri ke tempat yang selamat dan mengalami kecederaan parah.
Seorang saksi berkata, gajah terbabit dilihat sedang makan lobak merah di tepi jalan ketika pelancong itu menghampirinya untuk berswafoto. Gajah itu dipercayai bertukar berang selepas lampu kilat (flash) pada kamera menyala.
“Insiden ini adalah peringatan yang kuat untuk orang ramai mematuhi peraturan rizab hidupan liar dan membenarkan pihak berkuasa terlatih, bukan orang yang berjalan kaki, mengendalikan situasi seperti ini,” katanya.
Jabatan Hutan pula berkata aksi melulu seperti itu bukan sahaja membahayakan nyawa manusia tetapi juga mencetuskan tingkah laku haiwan yang tidak dapat diramalkan dan berbahaya.
Sementara itu, pelancong terbabit telah didenda sebanyak 25,000 Rupee (RM1,209) dan diperintahkan untuk membuat video bagi mengakui perbuatannya.
Dalam video itu, dia mengakui kurang pengetahuan mengenai peraturan keselamatan hidupan liar.
Sumber: Daily Mail