Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Gempa Bumi Afghanistan: Angka Korban Meningkat Kepada 622 & 1,500 Cedera

Athirah
Gempa Bumi Afghanistan
Kredit: AFP

Gempa Bumi Afghanistan: Angka Korban Meningkat Kepada 622 & 1,500 Cedera

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri pada Isnin melaporkan bahawa gempa bumi berskala 6.0 yang melanda timur Afghanistan telah mengorbankan sebanyak 622 nyawa, manakala lebih 1,500 lagi cedera.

Menurut AFP, gempa bumi yang berlaku sebelum tengah malam Ahad itu mengakibatkan seramai 610 orang terkorban dan 1,300 lagi cedera di wilayah Kunar.

Jurucakap Abdul Mateen Qani berkata, 12 orang dilaporkan maut dan 255 lagi cedera di wilayah Nangarhar.

Pegawai tempatan dan penduduk sedang giat menjalankan operasi menyelamat

Bernama melaporkan pihak berkuasa melancarkan operasi menyelamat di wilayah Kunar, timur Afghanistan, selepas gempa bumi berukuran 6.0 pada skala Richter melanda kawasan itu lewat Ahad dan mengorbankan lebih 250 nyawa.

Seorang pegawai Kementerian Penerangan memberitahu Anadolu Ajansi (AA) bahawa helikopter telah dikerah bagi membawa keluar mangsa yang cedera, ekoran kejadian tanah runtuh yang menghalang pasukan penyelamat daripada memasuki beberapa kawasan terjejas.

Menurutnya, lebih 250 orang disahkan maut manakala sekurang-kurangnya 500 lagi cedera, dengan jumlah korban dijangka terus meningkat.

Penduduk tempatan menyifatkan gempa itu sebagai antara yang terkuat pernah melanda negara itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) merekodkan gempa berlaku pada 11.47 malam waktu tempatan (1917GMT), 27 kilometer timur laut Jalalabad pada kedalaman lapan kilometer.

Kematian dilaporkan di daerah Nur Gal, Sawki, Watpur, Manogi dan Chapa Dara di wilayah Kunar.

Angka korban dan mangsa yang cedera masih belum muktamad kerana komunikasi dengan penduduk di kawasan pedalaman masih dijalankan, manakala pasukan bantuan masih dalam perjalanan.

Beberapa jalan menuju ke Dewa Gul di daerah Sawki dan Mazar Dara di daerah Nur Gul turut terhalang akibat tanah runtuh.

Jurucakap pentadbiran sementara Afghanistan, Zabihullah Mujahid mengesahkan gempa bumi itu telah menyebabkan korban jiwa dan kerosakan harta benda.

“Dukacita dimaklumkan, gempa bumi malam ini telah mengakibatkan kematian dan kerosakan harta benda di beberapa wilayah timur,” tulisnya di platform media sosial X.

Beliau berkata pegawai tempatan dan penduduk sedang giat menjalankan operasi menyelamat, manakala pasukan sokongan dari wilayah pusat dan berdekatan telah digerakkan ke kawasan terjejas.

“Segala sumber yang ada akan digunakan untuk menyelamatkan nyawa,” katanya.

USGS turut melaporkan sekurang-kurangnya dua lagi gempa bumi susulan, masing-masing berukuran 5.2 pada skala Richter melanda kawasan sama selepas gegaran utama.

BACA: Israel Umum Jurucakap Hamas, Abu Obeida Dipercayai Maut Dalam Serangan Israel

Sumber: AFP