Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

CKHT: Transaksi Pertukaran Pemilikan Hartanah Perlu Dilapor Kepada HASiL
KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) — Kedua-dua pihak yang melaksanakan sebarang transaksi melibatkan pertukaran pemilikan hartanah di Malaysia perlu melaporkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) dalam tempoh 60 hari dari tarikh transaksi bagi tujuan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT).
Ketua Penolong Pengarah Jabatan Operasi Setem & Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT)) HASiL Azman Muhammad berkata sebagai contoh, transaksi jual beli, pindah hak, pindah milik dan serah hak hartanah perlu dilakukan menerusi portal MyTax.
“Tanggungjawab pelupus (penjual) dan pemeroleh (pembeli) untuk melaporkan pelupusan dan pemerolehan aset kepada HASiL … ada juga yang lapor tetapi lewat, kalau lewat (lapor) akan dikenakan penalti lewat di bawah Seksyen 29 (3) Akta CKHT.
“Tindakan pendakwaan pula boleh diambil bagi yang gagal menghantar Borang Nyata CKHT, denda tidak melebihi RM5,000 dan boleh dipenjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika menjadi tetamu Bernama Radio untuk program Klinik Cukai bertajuk Pelajari Ilmu CKHT, hari ini.
“CKHT ini cukai yang dikenakan kepada keuntungan modal, keuntungan modal sepatutnya tak kena cukai tetapi dalam kes ini tak patut dikecualikan sebab bernilai tinggi dan aktiviti spekulasi yang memang tinggi.
“… rakyat Malaysia yang betul-betul memerlukan rumah kediaman ini terpaksa membeli dengan harga yang mahal oleh kerana aktiviti spekulasi yang ada dalam transaksi (penjualan) hartanah. Justeru, kerajaan berpandangan kita perlu stabilkan pasaran hartanah di Malaysia untuk membantu rakyat (menerusi CKHT),” katanya.
Azman berkata kadar CKHT dikira berdasarkan tempoh pegangan hartanah dan kadar cukai akan berkurang mengikut tempoh pegangan hartanah itu, bergantung kepada kategori pelupus.
Sebagai contoh, beliau berkata individu yang menjual hartanah dalam tempoh tiga tahun pertama akan dikenakan kadar cukai yang agak tinggi, iaitu 30 peratus, diikuti penjualan pada tahun keempat (20 peratus), manakala bagi tahun kelima (15 peratus).
Bagi tahun keenam dan seterusnya, individu yang menjual hartanah tidak lagi dikenakan cukai.
Beliau berkata perincian kadar CKHT untuk lain-lain kategori termasuk individu, syarikat dan warga asing boleh disemak menerusi laman rasmi HASiL di www.hasil.gov.my.
BACA: MCMC Teruskan Siasatan Dakwaan Libatkan Ahli Parlimen Pagoh Berhubung Subsidi RON95
Sumber: BERNAMA