Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kubur Wanita Digali Individu Misteri, Tali Ikat Kain Kafan Dicuri
Penduduk sebuah kampung di Seputih Mataram, wilayah Lampung Tengah, Indonesia gempar apabila kubur yang menempatkan jenazah seorang warga emas digali sehingga menampakkan kain kafan pada Jumaat lalu.
Menurut portal Liputan6, sebuah video yang merakam keadaan kubur milik jenazah wanita berusia 89 tahun itu yang digali dan terbongkar turut menjadi tular di media sosial.
Rakaman video itu memaparkan sebuah kubur yang kelihatan mempunyai kesan tanah digali dan berlubang sehingga menampakkan kain kafan berwarna putih.
Dalam masa sama, papan kayu yang menutupi bahagian kepala jenazah turut terbuka.
“Kubur itu digali. Saya tidak tahu siapa yang melakukannya. Ia telah digali malam tadi,” kata perakam video tersebut.
Ketua Polis Lampung Tengah, Asisten Komisioner Kanan Alsyahendra mengesahkan kejadian itu.
“Polis telah menjalankan siasatan di tempat kejadian dan kini sedang mengumpul keterangan saksi,” katanya.
Menurut keterangan ahli keluarga Allahyarhamah, jenazah yang dikenali sebagai Mbah Taryuni telah meninggal dunia pada 1 September lalu, kira-kira jam 10 malam (waktu tempatan).
“Jenazah telah dikebumikan pada keesokan harinya (2/9) pada jam 11.00 pagi di Tanah Perkuburan Umum Kampung Rejo Sari Mataram,” kata ahli keluarga.
Seorang individu tidak dikenali dipercayai telah menggali bahagian kepala kubur arwah dan mengambil tali pengikat kain kafan jenazah sebelum melarikan diri pada 5 September lalu.
Menurut portal Liputan6, ahli keluarga tidak membuat laporan rasmi kepada pihak polis kerana mereka sudah menerima ketentuan takdir yang menimpa Allahyarhamah.
Walaupun keluarga tidak mengambil tindakan undang-undang, Alsyahendra menjelaskan bahawa siasatan lanjut tetap dijalankan.
Difahamkan, anggota polis yang bertugas telah mengambil keterangan saksi, membaiki keadaan kubur dan memasang garisan polis bagi mengawal lokasi.
“Kes ini masih dalam siasatan. Kami sedang berusaha mengenal pasti suspek yang menggali kubur tersebut,” ujar Alsyahendra seperti yang dilaporkan dalam Liputan6.
Sumber: Liputan6