Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Nak Cuti Yang Betul-Betul “Recharge” Jiwa? Cuba Cara Ini

suhaila
Nak Cuti Yang Betul-Betul Recharge Jiwa? Cuba Cara Ini
imageFX

Nak Cuti Yang Betul-Betul “Recharge” Jiwa? Cuba Cara Ini

Kadang-kadang, kita bercuti bukan semata-mata untuk berjalan-jalan atau mengisi masa dengan aktiviti padat tetapi lebih kepada mencari ruang untuk menyegarkan semula jiwa dan minda yang penat dengan rutin harian.

Kita mungkin sudah terbiasa dengan cuti yang dipenuhi lawatan dari satu tempat ke satu tempat, sibuk mengejar bucket list tarikan popular.

Namun akhirnya, kita pulang dengan tubuh yang lesu dan fikiran yang tidak pernah benar-benar rehat. Tidak hairanlah ada yang mengeluh, “Balik bercuti pun masih letih, macam tak bercuti langsung.”

Hakikatnya, cuti yang benar-benar bermakna bukan diukur pada berapa banyak tempat menarik yang anda lawati atau berapa gambar indah yang sempat dimuat naik ke media sosial.

Sebaliknya, ia lebih kepada bagaimana percutian itu mampu memberi nafas baru kepada jiwa dan menyuntik tenaga segar kepada tubuh.

Ia juga menghadirkan semula rasa semangat untuk menghadapi dunia realiti selepas pulang nanti. Cuti yang berjaya ialah cuti yang membuatkan anda kembali dengan hati yang lebih lapang.

Fikiran terasa lebih tenang, dan semangat pula kembali menyala untuk meneruskan langkah.

Jadi, kalau anda sedang mencari cara bagaimana untuk menjadikan percutian lebih bermakna, tidak sekadar habiskan masa atau duit tanpa hasil, inilah masanya untuk mencuba sesuatu yang berbeza.

Percutian boleh menjadi terapi, cuti boleh menjadi ruang refleksi dan cuti juga boleh menjadi pengalaman yang menyentuh jiwa jika dirancang dengan cara yang betul.

Untuk itu, berikut adalah beberapa tip bersama cadangan destinasi yang mungkin anda belum pernah cuba, tetapi cukup berpotensi untuk memberi kesan mendalam serta menjadikan cuti anda sebagai pengalaman yang benar-benar recharge jiwa.

1. Pilih lokasi yang tenang

Daripada sibuk mengejar lokasi pelancongan popular yang sesak dengan orang ramai, cuba sesekali pilih destinasi yang lebih tenang dan damai.

Bayangkan anda duduk di sebuah homestay kecil di tengah sawah padi di Sekinchan, Selangor, bangun pagi dengan pemandangan kehijauan terbentang luas sambil menikmati udara segar tanpa hiruk-pikuk bandar.

Atau mungkin anda memilih chalet di tepi pantai Cherating, Pahang di mana bunyi ombak yang menghempas pantai menjadi alunan tidur yang menenangkan jiwa.

Jika anda sukakan suasana dingin dan dikelilingi pokok menghijau, kabin di Janda Baik, Pahang adalah pilihan sempurna untuk melambatkan rentak kehidupan.

Lokasi sebegini bukan sahaja memberi peluang untuk anda merehatkan diri sepenuhnya malah membuatkan anda lebih mudah tidur lena, bernafas dengan lega dan kembali rasa grounded.

Ianya seolah-olah anda baru sahaja menekan butang reset dalam hidup.

2. Jangan penuhkan jadual, belajar untuk “slow travel”

Kesilapan biasa ketika bercuti ialah cuba memadatkan jadual dengan terlalu banyak aktiviti dalam masa singkat kononnya mahu cover semua tempat menarik sekali gus.

Namun, hakikatnya, anda pulang lebih penat daripada sebelum bercuti. Konsep slow travel kini semakin popular kerana ia mengajar kita untuk benar-benar menikmati sesuatu destinasi dengan santai, tanpa tergesa-gesa.

Misalnya di bandar bersejarah George Town, Pulau Pinang, anda boleh habiskan masa seharian hanya untuk berjalan kaki menyusuri lorong seni jalanan.

Anda juga boleh duduk di kafe hipster sambil menikmati kopi perlahan-lahan tanpa tergesa-gesa. Jika bernasib baik, anda mungkin berpeluang berbual santai dengan pemilik kedai lama yang penuh cerita dan sejarah.

Aktiviti sebegini nampak biasa tetapi ia menjadikan percutian lebih autentik dan bermakna kerana anda menyerap suasana sebenar. Bukan sekadar menjadi pelancong yang singgah seketika.

3. Manjakan diri dengan Self-Therapy

Di samping itu, percutian juga adalah masa terbaik untuk menghadiahkan diri sendiri dengan pelbagai bentuk self-therapy.

Jika anda ke Langkawi, cuba pengalaman spa bertemakan alam di resort mewah yang menawarkan urutan tradisional Melayu.

Rawatan sebegini bukan sahaja menyegarkan badan, tetapi juga membantu menenangkan minda yang penat. Sementara itu, di tengah kesibukan Kuala Lumpur, anda boleh nikmati sesi facial di pusat kecantikan terkenal.

Alternatif lain ialah mencuba aromatherapy massage yang berkesan menghilangkan stres akibat kerja.

Bagi anda yang lebih sukakan suasana alam, kolam air panas semula jadi seperti Air Hangat Village di Langkawi atau Hot Springs Sg. Klah, Perak adalah terapi semula jadi yang dipercayai membantu melancarkan peredaran darah serta menenangkan fikiran.

Kalau jiwa anda lebih dekat dengan aktiviti santai, cuba pula memancing di Tasik Kenyir, Terengganu. Duduk berjam-jam di tepi tasik dengan joran di tangan sebenarnya adalah bentuk meditasi yang membebaskan fikiran daripada kesibukan dunia luar.

4. Cipta digital detox walaupun sekejap

Dalam dunia moden, kita sering terlalu bergantung pada gajet dan media sosial sehingga lupa menikmati momen sebenar di depan mata.

Bahkan ketika bercuti sekalipun, ramai masih sibuk mencari sudut terbaik untuk bergambar, memikirkan kapsyen media sosial atau menjawab mesej kerja yang tidak pernah habis.

Untuk benar-benar recharge, cuba lakukan digital detox walaupun hanya sehari.

Lokasi terpencil seperti Kampung Budaya Sarawak atau pulau kecil seperti Pulau Kapas, Terengganu yang liputan internetnya tidak begitu kuat sangat sesuai untuk mencuba cabaran ini.

Gunakan masa itu untuk menikmati suasana, berbual dari hati ke hati dengan rakan perjalanan atau sekadar termenung memerhati langit senja.

Percayalah, anda akan pulang dengan hati lebih ringan, fikiran lebih lapang dan rasa lebih hidup dalam erti kata sebenar.

BACA : Hati-Hati, Ini Cara Elak Dapur Kaca Meletup Tiba-Tiba

5. Dekatkan diri dengan alam dan aktiviti outdoor

Alam semula jadi adalah terapi terbaik yang sering kita abaikan. Hubungan dengan alam terbukti membantu memulihkan emosi dan mental malah membuatkan tubuh lebih sihat.

Ketika bercuti, cuba luangkan masa untuk aktiviti luar yang sederhana tetapi meninggalkan kesan mendalam.

Misalnya, jungle trekking di Taman Negara Pahang membolehkan anda mendengar bunyi hutan yang menenangkan.

Manakala, berkhemah di tepi sungai di Endau-Rompin, Johor membuatkan anda tidur dengan ditemani bunyi air mengalir.

Selain itu, mendaki ringan untuk menyaksikan matahari terbit dari puncak Bukit Tabur, Selangor juga memberi pengalaman yang cukup menakjubkan.

Ia adalah momen luar biasa yang sukar untuk dilupakan dan pasti meninggalkan kesan mendalam dalam ingatan.

Jika anda pencinta laut, snorkelling santai di Pulau Redang mampu membuka mata anda terhadap keindahan dunia bawah laut.

Pulau Perhentian juga menawarkan pengalaman yang sama, dengan air jernih serta hidupan laut yang memukau. Untuk sesuatu yang lebih santai, memancing di muara sungai boleh menjadi terapi jiwa yang menenangkan.

Aktiviti ini bukan sahaja melatih kesabaran, tetapi juga memberi ruang untuk refleksi diri dalam suasana damai.

6. Ambil masa untuk refleksi diri

Percutian yang bermakna juga tidak lengkap tanpa momen refleksi diri kerana inilah saat terbaik untuk berhenti sejenak dan melihat kembali perjalanan hidup anda.

Anda boleh membawa jurnal kecil untuk menulis perkara yang anda syukuri, impian masa depan atau sekadar meluahkan isi hati.

Lokasi seperti Kundasang, Sabah dengan pemandangan Gunung Kinabalu yang megah sangat sesuai untuk aktiviti refleksi diri.

Begitu juga dengan Cameron Highlands yang menawarkan udara sejuk dan hamparan ladang teh yang menghijau. Jika anda lebih cenderung kepada ekspresi kreatif, cuba melukis landskap indah yang terbentang di hadapan mata.

Selain itu, anda juga boleh merakam video peribadi atau bahkan bercakap dengan diri sendiri dalam nota suara.

Aktiviti refleksi sebegini bukan sahaja memberi perspektif baru, tetapi juga membuatkan anda rasa seolah-olah membuka lembaran segar dalam hidup.

Ia memberikan hati yang lebih ringan serta semangat yang lebih kuat untuk melangkah ke hadapan.

Kesimpulannya, cuti yang benar-benar memberi makna bukanlah tentang sejauh mana anda pergi atau seberapa banyak tempat yang berjaya dilawati.

Ia lebih kepada bagaimana percutian itu mampu menyegarkan kembali jiwa, fizikal, dan mental anda. Sama ada melalui terapi diri, masa berkualiti bersama alam atau sekadar berehat tanpa gajet, semuanya adalah cara untuk memastikan cuti anda benar-benar bermakna.

Dengan cara ini, cuti anda mampu memberi recharge jiwa sebelum kembali ke rutin harian.

Sumber : traveltowellbeing, calcoast.edu

BACA : Panduan Bijak Beli Kereta: Elak Terjerat Dengan Trik Penjual