Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Polis Tutup Jalan Utama Kerteh-Ranggon Susulan Gas Bocor

Sofea
polis tutup jalan utama
Kredit: Bernama

Polis Tutup Jalan Utama Kerteh-Ranggon Susulan Gas Bocor

CHUKAI, 20 Sept (Bernama) — Polis menutup laluan utama Kerteh-Ranggon kepada semua kenderaan susulan kebocoran paip gas Petronas Berhad (PGB) di Tapak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 5, Kerteh, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Razi Rosli berkata pihaknya telah menerima panggilan kecemasan pada 9.53 pagi yang melaporkan terdapat kebocoran paip gas jenis butane dalam bentuk gas mudah terbakar.

Beliau berkata lokasi kebocoran terletak kira-kira dua kilometer dari jalan utama dan tidak melibatkan kawasan perkampungan atau kediaman penduduk.

“Langkah awal pihak polis ialah menutup sepenuhnya kawasan kejadian daripada akses orang awam dan pekerja. Bekalan gas di saluran paip gas yang bocor juga telah diberhentikan dan ditutup untuk sementara hingga selesai kerja penyelenggaraan oleh kontraktor. “Laluan utama Kerteh-Ranggon juga ditutup kepada semua kenderaan bagi tujuan keselamatan manakala Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) juga telah diaktifkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Razi berkata pihak berkuasa sedang memantau situasi dengan rapi dan orang awam dinasihatkan tidak menghampiri lokasi kejadian bagi mengelak insiden tidak diingini.

Selain itu, beliau berkata polis juga akan menyalurkan maklumat dari semasa ke semasa dan orang awam diminta mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di talian 09-8592222,” katanya.

Sumber: BERNAMA