Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

TUDM Terima Tujuh Bot Penyelamat Daripada Kerajaan Jepun
JUGRA, 1 Oktober 2025 – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah menerima tujuh buah bot penyelamat JE-470 daripada Kerajaan Jepun bagi kegunaan Pasukan Khas TUDM (PASKAU) di bawah inisiatif Official Security Assistance (OSA) Programme atau Program Bantuan Keselamatan Rasmi antara Kerajaan Jepun dan Kerajaan Malaysia.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg. Datuk Lokman Hakim bin Ali telah menyaksikan simbolik penyerahan bot tersebut oleh Duta Besar Jepun ke Malaysia, H.E Shikata Noriyuki kepada Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Masro bin Kaliwon TUDM mewakili Panglima Tentera Udara dalam satu majlis yang berlangsung di Pangkalan Udara Jugra, Banting, Selangor pada hari ini.

Mengimbas kembali, inisiatif ini bermula apabila Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang pada 1 Disember 2023 telah bersetuju agar Kerajaan Malaysia menerima bantuan daripada Kerajaan Jepun dalam bentuk geran bernilai 400 juta Yen (¥400,000,000) bersamaan RM12.63 juta.
Bantuan ini adalah bagi pembelian peralatan bukan persenjataan di bawah program OSA. Susulan daripada keputusan tersebut, perjanjian Exchange of Notes (EN) telah dimeterai pada 16 Disember 2023 antara Kerajaan Malaysia dengan Japan International Cooperation System (JICS).
Melalui fasa pelaksanaan program ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menerima dan akan menerima beberapa peralatan secara berperingkat seperti Unmanned Aerial Vehicle (UAV) Drone, bot penyelamat dan Road Cleaning Truck (RCT). UAV telah mula diserahkan kepada ATM secara berperingkat mulai 22 September 2025 lalu, melibatkan Tentera Darat Malaysia (6 buah), Tentera Laut Diraja Malaysia (6 buah) serta Markas ATM – Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (2 buah). Pada hari ini merupakan penyerahan Bot Penyelamat jenis bot angin kepada ATM yang diterima oleh PASKAU.

Perolehan tujuh bot penyelamat JE-470 ini secara langsung dapat membantu PASKAU dalam memperkukuh keupayaan operasi di kawasan perairan. Bot ini mampu meningkatkan tahap mobiliti dan kecekapan anggota dalam melaksanakan Operasi Udara TUDM, Operasi Pasukan Khas dan Humanitarian Assistance and Disaster Relief (HADR). Keupayaan ini sekali gus mempertingkat tahap kesiapsiagaan TUDM dalam melaksanakan tanggungjawab mempertahan dan menjaga kepentingan negara.
Melalui inisiatif ini juga, kerjasama pertahanan strategik Malaysia-Jepun dapat terus diperkukuh. Penyerahan ini bukan sahaja membantu mempertingkat kesiapsiagaan pertahanan negara, malah memperjelas komitmen Kerajaan Jepun dalam menyokong kestabilan serantau khususnya dalam aspek pemantauan maritim, kawalan sempadan dan operasi keselamatan.