Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Hati-Hati! Ketahui Ini 8 Tanda Pelaburan Yang Tidak Sah
Dalam era digital yang serba pantas ini, semakin ramai orang mula mencari peluang pelaburan sebagai jalan pintas untuk menambah pendapatan.
Ada yang melabur demi masa depan, ada pula yang terpengaruh dengan kisah kejayaan orang lain yang kononnya berjaya menjadi jutawan dalam masa yang singkat.
Namun di sebalik tawaran manis yang kelihatan menggiurkan itu, wujud satu sisi gelap dunia pelaburan yang sering menjadi perangkap kepada mereka yang kurang berwaspada iaitu pelaburan tidak sah.
Lebih membimbangkan, skim penipuan kewangan hari ini tidak lagi mudah dikesan seperti dahulu. Jika dulu mereka jelas beroperasi tanpa lesen dan berjanji pulangan luar biasa kini penipuan semakin licik malah ada yang kelihatan begitu meyakinkan sehingga mampu memperdaya golongan berpendidikan tinggi sekalipun.
Pelaburan tidak sah biasanya diselindungi dengan janji keuntungan yang luar biasa, dokumen palsu yang kelihatan sah malah ada yang menggunakan nama besar, wajah selebriti atau label “patuh syariah” bagi menguatkan helah.
Lebih teruk lagi, ia kerap dipromosikan di media sosial dengan gaya hidup mewah. Ianyan seperti kereta import, rumah besar serta percutian eksklusif seolah-olah semua itu hasil daripada pelaburan mereka.
Ramai yang akhirnya terjerat kerana terbuai dengan mimpi indah yang sebenarnya hanyalah sandiwara.
Oleh itu, sangat penting untuk kita mengenali tanda-tanda pelaburan tidak sah lebih awal sebelum terjebak. Menyedari hakikat bahawa scammer semakin licik dan kreatif dalam mencari mangsa, artikel ini akan menghuraikan 8 tanda utama pelaburan tidak sah yang wajib anda kenali.
Dengan pengetahuan ini, anda dapat melindungi diri, keluarga dan kewangan daripada menjadi mangsa skim yang merugikan.
Pelaburan yang sah perlu mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) atau Bank Negara Malaysia (BNM).
Namun, skim tidak sah biasanya beroperasi tanpa lesen atau pendaftaran rasmi. Mereka mungkin menggunakan nama syarikat luar negara yang kononnya beroperasi di pasaran antarabangsa sedangkan sebenarnya tiada bukti kukuh mengenai kewujudannya.
Lebih meragukan, alamat syarikat sering kali tidak jelas malah ada yang langsung tidak boleh dijejaki. Sebenarnya, semakan lesen adalah langkah pertama yang boleh dilakukan sebelum melabur tetapi ramai yang terlepas pandang kerana terlalu fokus kepada janji keuntungan lumayan.
2. Janji pulangan yang terlalu tinggi
Salah satu ciri paling ketara dalam skim penipuan ialah janji pulangan yang tidak masuk akal. Bayangkan jika seseorang menjanjikan anda keuntungan tetap 30% setiap bulan atau pulangan berganda dalam masa beberapa minggu, itu sendiri sudah mencurigakan.
Hakikatnya, pasaran pelaburan sebenar tidak pernah konsisten sebegitu kerana nilai aset sentiasa berubah-ubah mengikut ekonomi dunia.
Tiada pelaburan yang mampu menjanjikan pulangan tetap dan tinggi dalam tempoh singkat.
Namun, ramai tetap terpedaya kerana rasa tamak yang muncul bila mendengar tawaran sebegini sedangkan itulah umpan yang digunakan oleh penipu kewangan.
Dalam pelaburan sebenar, risiko dan keuntungan adalah dua perkara yang tidak boleh dipisahkan. Namun, pelaburan tidak sah sering menggunakan frasa seperti “confirm profit”, “dijamin untung” atau “100% tanpa risiko”.
Hakikatnya, janji sebegini hanyalah permainan kata untuk membuatkan pelabur rasa selesa dan yakin. Apabila sudah percaya, barulah mereka memasukkan wang dalam jumlah besar.
Malangnya, bila tiba masanya untuk mengeluarkan keuntungan, alasan demi alasan akan diberikan. Bermula dari masalah sistem hinggalah ke isu teknikal yang direka-reka sehingga akhirnya pelabur menyedari wang mereka telah lesap.
4. Desakan sertai segera
Antara taktik klasik yang digunakan ialah mendesak mangsa untuk membuat keputusan segera. Mereka sengaja mewujudkan suasana terdesak dengan ayat seperti “tempat terhad”, “jangan tunggu lama, kalau lambat rugi besar” atau “hanya untuk mereka yang cepat bertindak”.
Teknik ini sebenarnya bertujuan supaya anda tidak sempat berfikir panjang atau membuat semakan dengan pihak berkuasa.
Ia juga dikenali sebagai taktik “fear of missing out” (FOMO). Iaitu rasa takut terlepas peluang. Ramai yang akhirnya terperangkap kerana menyangka peluang keemasan itu hanya datang sekali walhal sebenarnya ia hanyalah jerat yang dipasang rapi.
Jika anda bertanya dari mana datangnya keuntungan, jawapan yang diberi selalunya kabur. Ada yang mendakwa pelaburan dijana daripada emas, minyak, forex, kripto atau hartanah.
Namun bila diminta bukti transaksi sebenar, laporan kewangan atau dokumen sah, semuanya hilang entah ke mana.
Kebanyakan skim sebegini sebenarnya beroperasi dengan cara skim Ponzi, iaitu menggunakan duit orang baru untuk membayar keuntungan orang lama.
Ia kelihatan seperti berfungsi, tetapi hakikatnya tiada aktiviti perniagaan nyata di belakang tabir. Apabila jumlah orang baharu semakin berkurangan, skim ini akhirnya runtuh dan meninggalkan kerugian besar kepada pelabur.
BACA : Bahaya Tidur Dalam Kereta Yang Ramai Tak Tahu
6. Fokus rekrut ahli baru
Selain itu, skimpelaburan yang tidak sah juga biasanya memberi tumpuan besar kepada usaha mencari ahli baru. Malah, lebih banyak bonus atau komisen ditawarkan jika anda berjaya membawa masuk orang lain berbanding keuntungan daripada pelaburan itu sendiri.
Struktur sebegini sangat mirip dengan skim piramid yang bergantung kepada lapisan orang baru untuk membiayai orang lama.
Sebenarnya, selagi masih ramai yang masuk, ia mungkin kelihatan berjalan lancar. Tetapi apabila perekrutan terhenti, seluruh sistem akan runtuh dan mereka yang berada di bawah piramid iaitu pelabur baru akan menjadi mangsa yang paling teruk.
Jika diperhatikan dengan lebih dekat, pelaburan tidak sah biasanya penuh dengan maklumat yang meragukan. Laman web mungkin wujud tetapi tidak profesional, alamat syarikat tidak dapat dipastikan atau nombor telefon yang diberi tidak boleh dihubungi.
Lebih mencurigakan, ada yang meminta bayaran dimasukkan ke dalam akaun peribadi bukannya akaun rasmi syarikat.
Ada juga kes di mana dokumen atau sijil yang ditunjukkan adalah palsu dan sengaja direka untuk meyakinkan mangsa.
Jika pada peringkat awal maklumat asas pun tidak telus, besar kemungkinan segala janji manis mereka hanyalah helah untuk mengaburi mata pelabur.
8. Menggunakan nama besar atau agama
Di samping itu juga, bagi meningkatkan keyakinan, ada juga pelaburan tidak sah yang dikaitkan dengan nama selebriti, tokoh agama, atau pihak berautoriti.
Ada yang menggunakan istilah “patuh syariah” tanpa sebarang pengesahan rasmi hanya kerana ingin memancing pelabur Muslim yang lebih mudah terpengaruh dengan elemen agama.
Tidak kurang juga yang mempamerkan gaya hidup mewah seperti kereta import, rumah banglo, jam tangan mahal yang kononnya hasil daripada pelaburan.
Gambar-gambar ini sering disebarkan di media sosial sebagai bukti kejayaan, walhal kebanyakannya hanyalah sandiwara untuk meyakinkan orang ramai.
Secara keseluruhannya, pelaburan sepatutnya menjadi satu medium untuk menggandakan simpanan dan mencapai kestabilan kewangan bukannya menjadi jerat yang menghancurkan impian.
Jika anda menerima tawaran yang kedengaran terlalu indah untuk dipercayai, berhati-hatilah kerana besar kemungkinan ia adalah pelaburan tidak sah.
Sebelum melabur, semak dahulu dengan pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM).
Ambil masa untuk membaca, bertanya dan menilai. Jangan biarkan diri anda diperdaya dengan janji palsu.
Ingatlah, dalam dunia pelaburan sebenar, keuntungan datang bersama risiko dan kejayaan memerlukan masa serta strategi yang betul dan bukannya jalan pintas yang menjanjikan bulan dan bintang.
BACA : Kereta Dilanggar Dari Belakang? Ini Langkah Perlu Anda Buat
Sumber :
investor.gov,
consumer.ftc.gov