Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Mohon Doa Pembentangan Belanjawan 2026 Esok Berjalan Lancar – Anwar

Iqbal Yasir
belanjawan 2026 anwar doa
Gambar: Fb Anwar Ibrahim

Mohon Doa Pembentangan Belanjawan 2026 Esok Berjalan Lancar – Anwar

PUTRAJAYA, 9 Okt (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon semua rakyat Malaysia mendoakan agar pembentangan Belanjawan 2026 esok berjalan lancar.

“Doakan semuanya selamat, insya-Allah,” katanya ketika ditemui media selepas meninjau persiapan akhir Belanjawan 2026 di Kementerian Kewangan (MOF) di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan tiba kira-kira 3 petang dan disambut Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Perdana Menteri meluangkan kira-kira 30 minit meninjau ruang operasi Belanjawan 2026 di Dewan Utama dan beramah mesra dengan warga MOF yang terlibat dalam penyediaan dokumen itu.

Sebanyak 320 pegawai dan kakitangan MOF daripada pelbagai bahagian termasuk Bahagian Cukai, Bahagian Fiskal dan Ekonomi, Bahagian Antarabangsa, Bahagian Pejabat Belanjawan Negara dan Pasukan Bajet terlibat dalam penyediaan dokumen belanjawan tersebut.

Anwar turut bergambar bersama pengurusan tertinggi setiap kumpulan yang memainkan peranan dalam proses penyediaan Belanjawan 2026 di lobi utama MOF.

Sebelum ini, Perdana Menteri dilaporkan berkata Belanjawan MADANI 2026 akan mencerminkan keutamaan kerajaan dan hala tuju negara tahun depan dengan tumpuan kepada usaha membela rakyat, memperkukuh ekonomi serta memperteguh asas negara yang mampan dan inklusif.

Anwar dijadual membentangkan Belanjawan MADANI Keempat itu di Parlimen pada 4 petang esok.

Sumber: Bernama

BACA: Tiong Akui Kesilapan, Kesal Kontroversi Majlis Gala