Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Aaron-Wooi Yik Naib Juara Terbuka Artik 2025

Hannah
Aaron Wooi Yik Naib Juara Artik
Gambar: BERNAMA

Aaron-Wooi Yik Naib Juara Terbuka Artik 2025

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) — Hasrat wakil Malaysia meraih gelaran berganda di Terbuka Artik tidak kesampaian selepas beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, tewas kepada pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy, pada aksi final di Vantaa, Finland, hari ini.

Dalam perlawanan final kejohanan Super 500 yang berlangsung di Vantaan Energia Arena, Aaron-Wooi Yik memulakan permainan dengan agak sukar, melakukan beberapa kesilapan dan beberapa pukulan tersasar, menyebabkan mereka tewas 18-21 dalam set pertama.

Walaupun mendahului 15-11 dalam set kedua, pasangan nombor dua dunia itu hampir membiarkan peluang terlepas apabila pasangan England yang menghuni ranking ke-15 dunia mengejar hingga 21-21.

Namun, barisan negara tetap tenang di bawah tekanan untuk menoktahkan kemenangan 27-25 dan mengheret perlawanan ke set penentuan.

Pada saat mendahului 11-10 dalam set penentuan, dua kali pemenang pingat gangsa Olimpik ini tergelincir pada detik penting, membolehkan pasangan England memintas keadaan kepada 16-15 sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan 21-17 dalam perlawanan yang berlangsung selama 76 minit.

Kejayaan tersebut merupakan kemenangan keempat Lane-Vendy daripada 10 pertemuan menentang bekas juara dunia 2022 itu.

Selaku juara, Lane-Vendy membawa pulang USD37,525 (kira-kira RM159,000), manakala Aaron-Wooi Yik menerima USD18,050 (sekitar RM76,000).

Sebelum itu, beregu wanita negara Pearly Tan-M.Thinaah berjaya muncul juara selepas mengatasi gandingan Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakashini, dengan kemenangan 21-7, 21-9 dalam aksi final.

BACA: Pearly Tan-M. Thinaah Tebus Kekecewaan, Juara Terbuka Artik 2025

Sumber: BERNAMA