Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

7 Langkah Selamat Memandu Dalam Cuaca Buruk
Cuaca yang tidak menentu sering kali menjadikan pemanduan satu cabaran besar terutama apabila hujan lebat turun secara tiba-tiba atau kabus tebal menyelubungi jalan.
Dalam keadaan seperti ini, jarak pandangan akan menjadi terhad, cermin mula kabur, jalan menjadi licin dan keadaan sekeliling terasa semakin gelap terutamanya jika anda memandu pada waktu malam.
Apa yang sebelum ini kelihatan jelas kini menjadi samar dan setiap pergerakan kenderaan memerlukan tumpuan serta kawalan yang lebih teliti.
Keadaan sebegini bukan sahaja meningkatkan risiko kemalangan malah membuatkan ramai pemandu mudah hilang keyakinan atau panik terutama mereka yang kurang berpengalaman.
Dalam hujan lebat, limpahan air di atas jalan boleh menyebabkan tayar hilang cengkaman dan memperlahankan tindak balas kenderaan.
Kabus pula boleh menutup pandangan jauh ke hadapan, manakala kegelapan malam membataskan keupayaan anda melihat persekitaran dengan jelas.
Dalam situasi seperti ini, setiap keputusan kecil memainkan peranan besar dalam menentukan sama ada anda selamat sampai ke destinasi atau sebaliknya.
Oleh itu, memandu dalam keadaan cuaca buruk tidak boleh dilakukan secara sambil lewa. Ia memerlukan strategi, kesedaran tinggi dan sikap berhati-hati yang konsisten.
Dengan langkah pencegahan dan teknik pemanduan yang betul, anda bukan sahaja dapat melindungi diri dan penumpang malah turut menjaga keselamatan pengguna jalan raya lain.
Berikut ialah 7 langkah penting yang perlu anda amalkan setiap kali memandu dalam cuaca buruk sama ada ketika hujan lebat, kabus tebal atau dalam gelap malam yang menghadkan jarak penglihatan.
Apabila hujan lebat atau kabus tebal melanda, kelajuan tinggi boleh menjadi musuh utama anda. Jalan raya yang basah akan menyebabkan tayar kehilangan cengkaman dan meningkatkan risiko aquaplaning iaitu situasi di mana tayar terapung di atas air menyebabkan anda hilang kawalan sepenuhnya.
Dengan memperlahankan kelajuan, anda bukan sahaja memberi lebih masa untuk bertindak balas tetapi juga mengurangkan jarak membrek dan meningkatkan kestabilan kenderaan.
Elakkan daripada terburu-buru untuk tiba ke destinasi dalam keadaan cuaca begini. Walaupun anda seorang pemandu yang berpengalaman, tiada siapa dapat meramal apa yang akan berlaku di hadapan. Ingat, lebih baik tiba lewat daripada tidak tiba langsung.
2. Gunakan lampu kenderaan dengan betul
Lampu bukan sekadar aksesori kenderaan. Ia adalah sistem keselamatan utama dalam keadaan jarak penglihatan yang terhad.
Nyalakan lampu hadapan dan lampu kecil bukan sahaja untuk membantu anda melihat jalan dengan lebih jelas tetapi juga supaya pemandu lain dapat mengesan kehadiran anda lebih awal.
Jika anda memandu dalam kabus tebal atau hujan lebat, lampu kabus (fog lamp) boleh membantu meningkatkan kejelasan penglihatan ke hadapan.
Namun begitu elakkan daripada menggunakan lampu tinggi (high beam) kerana pantulan cahaya daripada titisan hujan atau kabus boleh menyilaukan mata anda sendiri dan mengaburkan pandangan.
Pastikan juga semua lampu kenderaan dalam keadaan baik dan tidak malap. Satu mentol yang rosak boleh membawa risiko besar dalam keadaan cuaca buruk.
Dalam keadaan biasa, pemandu disarankan untuk mengekalkan jarak dua saat dengan kenderaan di hadapan. Namun apabila jalan licin akibat hujan, jarak ini perlu ditingkatkan kepada empat atau lima saat.
Ini kerana jarak membrek menjadi lebih panjang apabila jalan basah dan sebarang kelewatan dalam memberi tindak balas boleh menyebabkan perlanggaran.
Selain itu, percikan air daripada tayar kenderaan hadapan boleh menjejaskan pandangan anda jika anda mengekori terlalu rapat.
Memberi jarak yang lebih luas membolehkan anda bertindak balas dengan lebih tenang dan mengelak pergerakan mengejut. Ini mungkin kelihatan remeh tetapi ia adalah langkah mudah yang boleh menyelamatkan nyawa.
4. Pastikan wiper dan cermin berfungsi dengan baik
Wiper yang haus atau rosak juga boleh menyebabkan air tidak disapu dengan sempurna. Ia menjadikan cermin depan berkabus dan kabur.
Dalam keadaan hujan lebat, ini adalah punca utama ramai pemandu kehilangan tumpuan kerana tidak dapat melihat jalan dengan jelas.
Pastikan wiper anda sentiasa berada dalam keadaan baik. Jika ia meninggalkan kesan atau tidak menyapu air dengan bersih gantikan dengan segera.
Selain itu, gunakan defogger atau pendingin hawa untuk mengurangkan wap pada bahagian dalam cermin. Lap cermin depan dan belakang secara berkala supaya tidak ada kotoran yang menghalang pandangan terutama pada waktu malam.
Sedikit usaha ini boleh membuat perbezaan besar terhadap tahap keselamatan anda.
Dalam keadaan jarak pandangan yang terhad, garisan putih di atas jalan bukan sekadar tanda pandu arah. Ia boleh menjadi penyelamat anda.
Kekalkan kedudukan kenderaan anda di tengah-tengah lorong dan elakkan daripada menukar lorong secara tiba-tiba. Jika anda perlu menukar lorong, pastikan memberi isyarat lebih awal dan lakukan dengan sangat perlahan.
Pergerakan mengejut boleh mengelirukan pemandu lain dan meningkatkan risiko pelanggaran sisi terutamanya apabila pandangan semua pengguna jalan raya terganggu oleh hujan atau kabus.
Fokus pada garisan jalan sebagai panduan visual. Keadaan ini dapat membantu anda kekal stabil walaupun keadaan sekeliling kelihatan samar-samar.
6. Kurangkan sebarang gangguan semasa memandu
Dalam situasi cuaca buruk, setiap tumpuan adalah berharga. Perkara kecil seperti menukar lagu, menjawab mesej atau berbual terlalu banyak boleh mengalih perhatian anda dalam beberapa saat dan beberapa saat itu boleh menjadi perbezaan antara selamat atau kemalangan.
Letakkan telefon bimbit jauh daripada jangkauan atau aktifkan mod jangan ganggu ketika memandu.
Matikan gangguan yang tidak perlu dalam kereta seperti bunyi muzik yang terlalu kuat. Dalam keadaan hujan lebat, bunyi tayar di atas jalan, bunyi hon atau lampu isyarat daripada kenderaan lain boleh menjadi petunjuk penting untuk anda bertindak pantas. Fokus sepenuhnya pada jalan dan persekitaran anda.
Tidak ada perjalanan yang terlalu penting hingga anda perlu membahayakan nyawa.
Jika hujan terlalu lebat atau kabus terlalu tebal sehingga anda hampir tidak dapat melihat hadapan, pilihan paling bijak ialah berhenti di tempat yang selamat.
Cari kawasan rehat, stesen minyak atau bahu jalan yang mempunyai pencahayaan dan ruang yang cukup.
Pasang lampu kecemasan (hazard light) supaya kenderaan lain dapat melihat anda dengan jelas. Jangan berhenti di tengah jalan atau selekoh kerana ia boleh membahayakan diri anda dan orang lain.
Berehat sebentar sehingga keadaan reda adalah langkah yang jauh lebih selamat daripada memaksa diri meneruskan perjalanan dalam keadaan buta penglihatan.
Kesimpulannya, cuaca yang tidak menentu seperti hujan lebat pada petang hari memerlukan tahap kewaspadaan lebih tinggi daripada pemandu.
Memandu dalam keadaan penglihatan terhad bukan sekadar tentang kemahiran tetapi juga tentang kesabaran, disiplin dan sikap bertanggungjawab di jalan raya.
Setiap langkah pencegahan yang anda ambil walau sekecil mana pun boleh menyelamatkan nyawa anda dan pengguna jalan raya lain.
Jangan pandang ringan apabila memandu dalam keadaan cuaca buruk. Bertindak bijak, pandu cermat dan utamakan keselamatan melebihi segala-galanya.
BACA : Ini 6 Tip Selamat Sewa Rumah, Elak Kena Tipu
Sumber : Grab, nationalhighways