Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Nampak Macam Baru Beli, Ini Rahsia Hilangkan Kesan Kuning Pada Bantal

Azzwin
kesan kuning pada bantal
Gambar: ImageFX

Nampak Macam Baru Beli, Ini Rahsia Hilangkan Kesan Kuning Pada Bantal

Tiada yang lebih menyenangkan daripada merebahkan kepala di atas bantal yang lembut dan empuk selepas seharian penat bekerja.

Namun, tanpa disedari, bantal yang kelihatan bersih di luar sebenarnya mungkin menyimpan peluh, habuk dan kotoran di dalamnya.

Walaupun kita rajin menukar cadar dan sarung bantal, ramai yang jarang mencuci bantal itu sendiri, apatah lagi menghilangkan kesan kekuningan yang muncul selepas lama digunakan.

Persoalannya, bolehkah kesan kuning itu dihilangkan? Jawapannya, sudah tentu boleh.

Sekiranya anda membeli bantal yang paling berkualiti sekalipun akan berubah warna dari semasa ke semasa.

Tetapi, jika anda tahu tentang cara mencuci dan menghilangkan kesan kekuningan tersebut, bantal boleh kembali kelihatan bersih dan segar seperti baru.

Pakar cucian turut berkongsi langkah terbaik untuk membersihkan bantal dengan betul, sama ada untuk menanggalkan kesan kuning atau sekadar memastikan ia kekal bersih dan selesa digunakan.

Mengapa bantal menjadi kekuningan?

Menurut Reader’s Digest, punca utama bantal meninggalkan kesan kekuningan adalah disebabkan peluh.

Walaupun masalah ini lebih kerap dialami oleh mereka yang mudah berpeluh ketika tidur, sebenarnya ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa disedari.

Pakar cucian, Lori Williamson menjelaskan bahawa ketika kita tidur badan akan mengeluarkan peluh. Jadi, ia akan menyebabkan bantal boleh meninggalkan kesan kekuningan.

Difahamkan, kesan kuning pada bantal berpunca daripada bahan kimia semula jadi yang terdapat dalam peluh iaitu urea.

Walaupun urea ini tidak berbahaya, malah juga terdapat dalam air kencing manusia dalam jumlah yang lebih banyak, bahan ini akan terurai dari semasa ke semasa dan bertukar menjadi ammonia.

Secara ringkasnya, ammonia inilah yang menyebabkan bantal kelihatan kekuningan.

Cara hilangkan kesan kekuningan pada bantal

Sebenarnya, terdapat cara untuk mencuci bantal yang berbeza mengikut jenisnya.

Menurut Paul Weiner, bekas pakar dobi profesional, bantal jenis poliester dan bulu burung boleh dicuci menggunakan mesin basuh dengan air sejuk, detergen lembut dan bahan pemutih pilihan anda.

Jenis bantal ini juga boleh direndam semalaman untuk menghilangkan kesan kuning.

Namun, bantal foam, gel atau cooling pillow tidak boleh dicuci menggunakan mesin basuh. Untuk jenis ini, rawatan awal dan cucian tangan adalah pilihan terbaik.

Bagi bantal yang tidak sesuai dicuci menggunakan mesin, semburkan bahagian kekuningan dengan cecair pra-rendaman dan biarkan antara 15 minit hingga 1 jam bergantung pada tahap kekotoran.

Sediakan campuran air panas dan detergen lembut di dalam bekas kecil, dengan kadar satu hingga tiga sudu detergen bagi setiap satu gelen air.

Celupkan tuala kecil atau berus gigi ke dalam larutan tersebut dan gosok perlahan pada bahagian bantal yang kekuningan.

Setelah kesan kekuningan beransur hilang, bilas semula dengan air bersih untuk menanggalkan sisa sabun.

Bagaimanapun, anda perlu mengulang langkah ini sehingga bantal benar-benar bersih.

Kemudian, keringkan bantal di tempat yang mempunyai aliran udara baik. Elakkan menggunakan mesin pengering, sebaliknya jemur atau letakkan di permukaan rata sehingga kering sepenuhnya.

Bagi bantal yang boleh dicuci dalam mesin seperti bantal poliester, ia sesuai dikeringkan menggunakan suhu sederhana selama kira-kira sejam, manakala bantal bulu burung lebih elok dikeringkan menggunakan tetapan tanpa haba atau mod udara selama tempoh yang sama.

Cara kekalkan bantal sentiasa putih

Reader’s Digest juga menasihatkan bahawa langkah pencegahan adalah cara terbaik untuk memastikan bantal kekal bersih dan putih.

Anda boleh gunakan sarung pelindung bantal agar peluh dan air liur tidak terus meresap ke dalam bantal. Pelindung ini lebih mudah dicuci.

Selain itu, pemilihan sarung bantal juga memainkan peranan penting.

Sarung bantal satin dan sutera kurang menyerap peluh berbanding kapas atau mikrofiber. Ini kerana ia membantu mengurangkan risiko bantal menjadi kuning kerana kelembapan dan peluh tidak mudah menembusi kain.

Namun, kain seperti flanel atau fleece boleh memerangkap haba dan menyebabkan rasa panas ketika tidur, sekali gus meningkatkan peluh.

Walau apa juga jenis bantal yang digunakan, semua berpotensi mengalami kesan kuning dari semasa ke semasa.

Jadi, pastikan bantal dicuci secara berkala sekurang-kurangnya dua kali setahun, atau lebih kerap jika digunakan setiap hari.

Cara mudah ini bukan sahaja mengekalkan kebersihan, tetapi juga membantu memastikan tidur anda lebih selesa dan segar setiap malam.

BACA: Pakar Dermatologi Dedah 5 Tabiat Sebelum Tidur Yang Boleh Rosakkan Kulit Muka

Sumber: Reader’s Digest