Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Jangan Panik, Ini Cara Berlindung Ketika Puting Beliung Melanda
Fenomena ribut kuat dan puting beliung sering kali datang tanpa amaran panjang membuatkan ramai tidak sempat bersedia.
Dalam keadaan panik, tindakan yang tidak tepat boleh meningkatkan risiko kecederaan atau kehilangan nyawa. Puting beliung bukan sekadar angin biasa.
Ia adalah pusaran berputar laju yang boleh merobohkan struktur, menerbangkan objek berat dan menyebabkan kemusnahan besar dalam masa yang singkat.
Walaupun kejadian sebegini lebih lazim di negara luar, beberapa insiden di Malaysia juga telah membuktikan bahawa kita juga tidak terkecuali daripada risiko ini terutama di kawasan lapang atau beriklim lembap.
Oleh itu, amat penting untuk setiap individu memahami langkah keselamatan yang betul apabila berdepan dengan situasi sebegini.
Pengetahuan ini bukan sahaja membantu melindungi diri tetapi juga boleh menyelamatkan nyawa ahli keluarga dan orang sekeliling.
Dengan mengetahui apa yang perlu dilakukan sama ada ketika berada di dalam rumah, di luar bangunan atau dalam kenderaan, anda mampu bertindak pantas dan tenang ketika keadaan menjadi cemas.
Ingat, dalam situasi kecemasan seperti ini setiap detik sangat berharga dan keputusan yang betul boleh menjadi penyelamat.
Puting beliung ialah pusaran angin berputar laju yang terbentuk apabila lapisan udara panas dan lembap dari permukaan bumi bertembung dengan udara sejuk di lapisan atmosfera atas.
Perbezaan tekanan dan suhu ini menghasilkan pusaran angin yang kuat, membentuk corong awan berputar yang menjulur ke permukaan bumi.
Kelajuan angin boleh mencapai 80 km/j malah dalam kes yang lebih ekstrem ianya boleh mencecah sehingga 300 km/j.
Fenomena ini lazimnya berlaku di kawasan lapang dan terbuka seperti padang, sawah atau kawasan perumahan yang tidak terlindung.
Secara umum, terdapat tiga jenis utama puting beliung yang pernah direkodkan atau boleh berlaku di Malaysia:
1. Puting Beliung Supercell
Jenis ini merupakan yang paling berbahaya kerana terbentuk daripada ribut petir besar yang dikenali sebagai supercell. Iaitu sistem ribut petir yang sangat kuat dan berputar.
Puting beliung jenis ini sering dikaitkan dengan corong awan yang besar, pusaran angin sangat kuat dan tempoh kejadian yang lebih lama berbanding jenis lain.
Walaupun jarang berlaku di Malaysia, jika ia terbentuk impaknya boleh menyebabkan kemusnahan besar pada struktur bangunan, kenderaan dan kawasan sekitarnya.
Puting beliung supercell biasanya berada pada tahap F2 hingga F5 dalam Fujita scale dengan kelajuan angin yang boleh melebihi 200 km/j.
Puting beliung belalai darat adalah jenis puting beliung yang lebih ringan dan paling biasa berlaku di Malaysia. Ia tidak memerlukan ribut petir supercell untuk terbentuk sebaliknya muncul apabila pusaran angin kecil terbentuk berhampiran permukaan tanah dan berkembang ke atas apabila arus udara panas dan lembap naik ke atmosfera.
Puting beliung jenis ini berskala kecil namun masih cukup kuat untuk menyebabkan kerosakan pada bumbung rumah, struktur ringan, papan tanda, pokok dan kenderaan.
Ia biasanya berada pada tahap F0 hingga F1 dengan kelajuan angin antara 80–180 km/j.
3. Belalai Air (Waterspout)
Manakala puting beliung belalai air pula terbentuk di atas permukaan air sama ada laut, tasik atau sungai besar. Ia kelihatan seperti corong awan yang menjulur ke permukaan air dan membentuk pusaran air berputar laju.
Fenomena ini biasa dilihat di kawasan pesisir pantai Malaysia dan lazimnya tidak sekuat puting beliung supercell.
Namun, jika ia bergerak ke darat ianya boleh bertukar menjadi belalai darat dan menyebabkan kerosakan pada kawasan berpenduduk.
Kebanyakan belalai air berada pada tahap F0 tetapi masih berbahaya untuk bot kecil, nelayan dan kawasan pantai.
Apabila puting beliung berlaku, keadaan boleh berubah menjadi cemas dalam sekelip mata. Angin kencang, serpihan berterbangan dan struktur yang mudah runtuh menjadikan situasi ini sangat berbahaya.
Dalam detik genting seperti ini, tindakan pantas dan tepat amat penting untuk melindungi diri serta orang tersayang. Mengetahui langkah keselamatan yang betul boleh menjadi penyelamat nyawa sebelum bantuan tiba.
1. Jika anda berada di dalam rumah
Apabila amaran ribut atau puting beliung dikeluarkan dan anda sedang berada di dalam rumah, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah bertindak segera mencari tempat perlindungan.
Elakkan panik kerana setiap tindakan pantas boleh memberi perbezaan besar terhadap keselamatan diri dan keluarga. Cari ruang yang paling kukuh dalam rumah seperti bilik air, stor atau ruang tengah di tingkat bawah.
Tempat-tempat ini biasanya dibina dengan struktur yang lebih kuat dan terlindung daripada hentaman angin serta serpihan terbang.
Tutup semua pintu dan tingkap dengan rapat untuk mengelakkan tekanan angin kuat daripada masuk dan merosakkan struktur bangunan.
Seterusnya matikan bekalan elektrik utama bagi mengelakkan risiko litar pintas, renjatan elektrik atau kebakaran akibat sambaran kilat.
Akhir sekali, jauhi kawasan tingkap kaca kerana ia boleh pecah dengan mudah apabila angin bertiup kencang. Serpihan kaca tersebut boleh mencederakan sesiapa sahaja yang berhampiran.
Sekiranya anda berada di luar rumah sewaktu ribut melanda, jangan tunggu keadaan menjadi lebih teruk. Bertindak dengan pantas adalah kunci utama.
Jauhi tiang elektrik, papan iklan besar dan struktur tinggi kerana ia mudah tumbang apabila ditiup angin kencang. Struktur ini juga boleh menjadi punca kemalangan sekiranya ia runtuh secara tiba-tiba.
Selain itu, elakkan berteduh di bawah pokok besar atau jambatan kerana struktur ini tidak stabil dalam keadaan ribut. Jika tiada bangunan kukuh berhampiran, segera cari kawasan yang rendah dan selamat.
Duduk dalam posisi rendah, berlutut dan lindungi kepala dengan tangan untuk mengurangkan risiko terkena serpihan objek yang berterbangan.
Sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan elakkan berlari ke kawasan terbuka kerana kawasan seperti ini lebih terdedah kepada kekuatan dan putaran angin yang tidak menentu.
3. Jika anda berada dalam kenderaan
Kenderaan bukanlah tempat perlindungan yang sesuai ketika puting beliung berlaku kerana ia mudah diterbalikkan atau dihanyutkan oleh angin kuat.
Jika anda sedang memandu dan menyedari perubahan mendadak pada keadaan cuaca seperti angin semakin kuat, langit menjadi gelap atau ternampak corong awan, hentikan kenderaan di tempat yang selamat dengan segera.
Elakkan berhenti di tengah jalan raya atau di bawah jambatan kerana struktur tersebut boleh menjadi tidak stabil ketika ribut.
Selepas berhenti, segera keluar dari kenderaan dan cari bangunan kukuh atau kawasan parit tanah yang terlindung untuk berlindung sementara waktu.
Jangan sesekali cuba memecut untuk melarikan diri daripada puting beliung kerana arah pergerakannya tidak dapat dijangka dan boleh membahayakan nyawa anda.
Jika tiada tempat berlindung berhampiran, rendahkan diri serapat mungkin ke tanah dan lindungi kepala serta badan bagi mengurangkan risiko terkena serpihan terbang atau objek berat yang dihumban angin.
Dalam keadaan ini, melindungi diri adalah lebih penting daripada melindungi kenderaan.
Mengetahui tanda-tanda awal kemunculan puting beliung juga sangat penting kerana ia memberi ruang masa untuk bertindak sebelum keadaan menjadi berbahaya.
Antara petanda yang sering berlaku termasuklah langit yang tiba-tiba menjadi gelap dengan awan tebal yang bergerak pantas.
Dalam masa yang singkat, angin mula bertiup kuat secara tidak menentu serta menjadikan suasana terasa ganjil dan menakutkan.
Bunyi bising seperti deruman enjin kapal terbang atau kereta api yang semakin kuat juga sering menjadi petanda bahawa pusaran angin sedang mendekat.
Selain itu, kewujudan awan rendah yang kelihatan berputar atau pembentukan corong awan menjulur ke bumi menandakan fenomena ini semakin hampir.
Jika anda menyedari mana-mana tanda ini, jangan berlengah atau tunggu pengumuman rasmi. Sebaliknya segera cari tempat perlindungan yang kukuh.
Tindakan pantas boleh menjadi penentu antara keselamatan dan bahaya terutama dalam situasi cuaca ekstrem seperti ini.
Sebagai kesimpulan, dalam situasi ribut atau puting beliung, keselamatan diri dan keluarga perlu menjadi keutamaan. Jangan ambil risiko untuk menyelamatkan harta benda jika keadaan sudah berbahaya.
Sentiasa peka terhadap amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, kenali kawasan perlindungan berhampiran dan latih ahli keluarga tentang prosedur keselamatan sekiranya kecemasan berlaku.
Tindakan awal dan keputusan pantas boleh membezakan antara selamat dan tragedi. Puting beliung boleh datang tanpa amaran panjang tetapi dengan ilmu dan persediaan anda mampu melindungi nyawa insan tersayang.
Sumber : FB Malaysiamet
BACA : 8 Cara Boleh Bantu Tubuh Rawat Influenza & Kembali Cergas