Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Benda ‘Wajib’ Kena Buat Sebelum Beli Hartanah – JSJK PDRM

Sebelum Beli Hartanah
Gambar: AI/ImageFX

Benda ‘Wajib’ Kena Buat Sebelum Beli Hartanah – JSJK PDRM

Zaman sekarang, terlalu banyak kes penipuan berlaku di setiap pelosok dunia, termasuklah di Malaysia sendiri. Meskipun pelbagai kes telah dilaporkan, kejadian seumpama ini masih terus berulang.

Persoalannya, adakah rakyat masih tidak serik? Atau sebenarnya ramai yang kurang pendedahan tentang langkah-langkah keselamatan sebelum membuat urusan penting seperti pembelian hartanah?

Atas keprihatinan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada sebelum membeli sebarang hartanah. Ini penting bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

Justeru, menerusi Slot Pencegahan Jenayah Hartanah di Facebook rasmi JSJK, beberapa langkah penting dikongsikan untuk memastikan urusan jual beli hartanah dijalankan dengan selamat.

Berikut ialah panduan lengkap yang disarankan:

1. Semak status pemaju & projek yang dilaksanakan

Pastikan pemaju yang menawarkan projek berkenaan berdaftar dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Pembeli boleh menyemak maklumat pemaju melalui portal rasmi di sini.

Semakan ini penting untuk mengetahui sama ada projek tersebut berlesen, telah diluluskan atau sebaliknya bermasalah.

Elakkan membeli rumah daripada pemaju tidak berlesen atau yang menjual unit sebelum mendapat kelulusan pelan bangunan daripada pihak berkuasa.

2. Semak geran & status tanah

Sebelum membuat sebarang bayaran, minta salinan geran tanah atau lakukan carian rasmi di Pejabat Tanah. Pastikan maklumat berikut disemak dengan teliti:

Status hak milik tanah sama ada freehold (pegangan bebas) atau leasehold (pegangan pajakan).

Tiada sebarang kaveat, gadaian atau sekatan kepentingan ke atas tanah tersebut.

Jika membeli rumah yang telah dimiliki pihak lain (subsale), pastikan penjual benar-benar pemilik sah yang namanya tertera dalam geran tanah.

3. Gunakan khidmat profesional

JSJK menasihatkan pembeli supaya melantik peguam hartanah berdaftar, bukan sekadar menggunakan “runner” atau orang tengah yang tidak bertauliah.

Jangan sesekali menandatangani sebarang dokumen tanpa disemak terlebih dahulu oleh peguam.

Selain itu, sekiranya menggunakan ejen hartanah, pastikan ejen tersebut berdaftar dengan Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta (LPPEH).

Semakan boleh dilakukan di laman web rasmi di sini.

4. Elakkan bayaran terus ke akaun individu

Semua bentuk bayaran, sama ada deposit, tempahan, atau ansuran, mestilah dibayar ke akaun amanah (client account) syarikat pemaju atau firma guaman. Elakkan memberi wang tunai kepada individu yang mengaku sebagai wakil pemaju atau ejen.

Simpan semua resit, slip transaksi dan surat perjanjian sebagai bukti rasmi sekiranya berlaku sebarang pertikaian di kemudian hari.

Jangan terburu-buru buat keputusan

Kes penipuan sering berlaku akibat sikap cuai dan terlalu mudah mempercayai tawaran yang kelihatan menarik di media sosial.

Oleh itu, pembeli diingatkan agar tidak terburu-buru membuat keputusan dan sentiasa melakukan semakan latar belakang sebelum berurusan.

Langkah pencegahan awal ini bukan sahaja dapat mengelakkan kerugian besar. Malah, juga memastikan sebarang pelaburan dibuat dengan selamat, sah dan terjamin dari segi undang-undang.

BACA: Influenza: Tip Penting Bantu Lindungi Anda & Keluarga

Sumber: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil – JSJK PDRM