Sharifah Ariel Pastikan Negaraku Bergema Di Bumi Bahrain
Penyumbang emas pertama kontinjen remaja negara di Sukan Remaja Asia Bahrain 2025, Puteri Sharifah Ariel Budriah, menjadi tumpuan ramai apabila tetap menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku hingga tamat.
Difahamkan, lagu itu tiba-tiba terhenti separuh jalan ketika upacara penyampaian pingat selepas berakhirnya saingan akhir acara show jumping individu di Manama.
Dengan disokong oleh penonton dari Malaysia yang turut sama menyanyi, Sharifah Ariel terus melaungkan Negaraku dengan penuh rasa bangga tanpa iringan muzik.
Untuk info, atlet muda berusia 15 tahun itu tampil cemerlang apabila menewaskan 51 pencabar lain tanpa sebarang penalti bersama kuda tunggangannya, Panamera Z, sekali gus muncul juara acara berkenaan.
Sharifah Ariel dilihat sebagai atlet muda berpotensi besar dengan pakej lengkap yang mampu menjadi sandaran negara di pentas antarabangsa.
Tahniah, Puteri Sharifah Ariel Budriah.
BACA: Presiden FIFA Umum Penganjuran Piala ASEAN FIFA
Sumber: Stadium Astro