Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lagu Shila Amzah Nombor 1 Carta Muzik Antarabangsa
Penyanyi tempatan, Shila Amzah melakar sejarah dalam industri seni apabila lagu dendangannya, Dao Shi Shuo Ai Wo berjaya meraih tempat pertama dalam carta muzik China, QQmusic.
Berita gembira tersebut dikongsi oleh artis berkenaan di laman X miliknya, pada Isnin.
Penyanyi itu menyifatkan pencapaian lagu dari album My Journey berkenaan merupakan sesuatu yang luar biasa.
“Lagu saya 到时说爱我 (Dao Shi Shuo Ai Wo) menduduki tempat pertama dalam Carta QQmusic China, memang menakjubkan.
“Alhamdulillah. Alangkah gembiranya jika saya dapat sampaikan penghargaan saya pada mendiang Khalil Fong yang menuliskan lagu indah ini buat saya,” katanya.
Difahamkan, suara penyanyi terkemuka itu atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah bakal bergema di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) pada tahun hadapan.
Menurut Bernama, musim konsert ke-28 yang membawakan tema Where Every Beat Tells A Story itu turut menampilkan Jaclyn Victor, Kunto Aji dan Lea Salong.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh DFP dan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO), konsert khas Shila bersempena 25 tahun berkecimpung dalam dunia seni bakal diadakan.
“Shila Amzah akan meraikan 25 tahun perjalanan seninya menerusi konsert khas pada Mei, manakala Jaclyn Victor pula bakal memperingati dua dekad kariernya bersama MPO pada Oktober. Penyanyi Indonesia Kunto Aji pula akan beraksi dalam konsert Simfoni Mantra pada November dan bintang Broadway tersohor Lea Salonga bakal bergabung dengan abangnya, konduktor residen MPO Gerard Salonga dalam persembahan bertemakan Broadway dan Disney pada September,” maklum kenyataan tersebut.
Selain itu, pengunjung turut bakal disajikan dengan konsert penghormatan kepada Allahyarham Datuk Sharifah Aini pada bulan Jun.
Bagi mereka yang meminati karya Shakespeare, produksi unik Mak Yong Shakespeare: The Comedy of Errors – An Adaptation arahan Norzizi Zulkifli bakal disajikan. Persembahan ini menggabungkan seni tradisional dan karya Shakespeare dalam interpretasi moden.
Sumber: Shila Amzah, Bernama