Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Silicon X Catat Sejarah, Bangunkan Cip FPGA Pertama Malaysia Dan Asia Tenggara

Azizah Najib
cip fpga
Kredit: Invest Penang

Silicon X Catat Sejarah, Bangunkan Cip FPGA Pertama Malaysia Dan Asia Tenggara

PULAU PINANG — Syarikat pemula tempatan, Silicon X Sdn Bhd (Silicon X) berjaya membangunkan cip Field Programmable Gate Array (FPGA) milik sendiri, sekali gus mencatat sejarah sebagai syarikat pertama di Malaysia dan Asia Tenggara menghasilkan produk tersebut.

Kejayaan ini dilihat sebagai langkah penting dalam mengukuhkan peranan Pulau Pinang sebagai hab semikonduktor global serta menyokong aspirasi Buatan Malaysia yang digerakkan menerusi inisiatif Penang Silicon Design @5KM+ (PSD@5KM+).

FPGA ialah cip boleh atur cara semula yang menawarkan prestasi tinggi serta kecekapan tenaga. Teknologi ini mampu menyesuaikan diri dengan pelbagai aplikasi industri yang memerlukan kelenturan masa nyata dan prestasi masa pendam yang rendah.

Pembangunan cip tersebut juga bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi import serta menutup jurang dalam rantaian nilai semikonduktor negara.

Langkah strategik letak Malaysia dalam pasaran semikonduktor global

Sementara itu, industri semikonduktor global dijangka melebihi AS$1 trilion menjelang tahun 2030. Perkara ini menjadikan pembangunan FPGA penting bagi menempatkan Malaysia sebagai pemain strategik dalam pasaran global.

Berikutan sumbangan sehingga 60 peratus daripada jumlah eksport barangan elektrik dan elektronik negara, Pulau Pinang menjadikan Malaysia pemain utama dalam rantai bekalan semikonduktor dunia.

Cip FPGA rekaan Silicon X dijangka mempercepat transformasi digital negara dalam pelbagai sektor termasuk kecerdasan buatan (AI), robotik, telekomunikasi, pusat data, penjagaan kesihatan, automotif dan automasi industri.

Produk itu direka sepenuhnya di dalam negara dengan penggunaan perisian dan perkakasan berprestasi tinggi dan berskala serta cekap tenaga. Hasil ini membuktikan keupayaan Malaysia bersaing dalam pembangunan teknologi canggih bertaraf dunia.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyifatkan kejayaan Silicon X menghasilkan generasi pertama cip Buatan Malaysia sebagai satu pencapaian yang membanggakan.

“Direka, dibangunkan dan dipacu dari Pulau Pinang. Kejayaan ini satu bukti terhadap keupayaan Pulau Pinang bagi menyokong inovasi bertaraf tinggi dan memperkukuhkan kedudukan negara dalam rantaian nilai semikonduktor global, selaras dengan Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS),” ujar beliau.

Sumber: Invest Penang

BACA: Cara Mohon Bingkas Selangor: Bantuan Bulanan E-Wallet RM300

BACA: Program NUR: Rebat RM400 Untuk Aircond & Peti Sejuk Baru

BACA: Jantung Laju Masa Bersenam? Ini 7 Perkara Anda Kena Tahu