Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Nahas UPSI: Syarikat Gagal Patuhi Syarat Lesen Didenda RM20,000 – MOTAC

Azizah Najib
nahas upsi syarikat didenda
Kredit: Bernama

Nahas UPSI: Syarikat Gagal Patuhi Syarat Lesen Didenda RM20,000 – MOTAC

KUALA LUMPUR (Bernama) — Syarikat bas, Kenari Utara Travel & Tours Sdn Bhd didenda RM20,000 selepas mengaku bersalah menjual bas persiaran bernombor pendaftaran PLD 8892 dan menyewa permit bas terbabit kepada Noreen Maju Trading, sebuah entiti yang menjalankan perniagaan pengendalian pelancongan tanpa lesen di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 .

Bas persiaran terbabit dikendalikan oleh Noreen Maju Trading terlibat dalam kemalangan maut di Gerik, Perak ketika membawa sekumpulan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pulang ke kampus Tanjong Malim pada 9 Jun lepas.

Hukuman itu dijatuhkan kepada syarikat terbabit oleh Mahkamah Majistret Gerik pada 3 November lepas yang mensabitkan syarikat itu atas dua pertuduhan di bawah Peraturan 6(1)(f) Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan 1992 kerana gagal mematuhi syarat lesen yang melarang urus niaga dengan pihak tidak berlesen.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan memaklumkan mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan kegagalan membayar boleh membawa hukuman penjara hingga lima tahun.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Zulaikha Mahadi bersama-sama Pegawai Pendakwa MOTAC Nurul Hidayah Aman.

Sehubungan dengan itu, MOTAC menegaskan bahawa pelanggaran Akta 482 dan peraturannya merupakan kesalahan jenayah serius.

“MOTAC komited untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mengancam keselamatan dan integriti industri pelancongan negara,” menurut kenyataan itu.

Dalam kejadian awal pagi 9 Jun, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih, Terengganu ke kampus utama Tanjong Malim terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur–Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik.

Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV).

Sumber: Bernama

BACA: Laporan Awal Nahas UPSI: Kelajuan Bas Dua Kali Ganda Had Laju

BACA: Galeri Nurly Sahirah Akan Diwujudkan Di UPSI – Mohd Na’im

BACA: Nahas Gerik: Pemandu Bas Mengaku Tidak Bersalah Sebabkan Kematian 15 Penuntut UPSI