Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Banjir Hat Yai: Operasi Pemindahan Pelajar, Pensyarah UUM Dijangka Pagi Ini
ALOR SETAR, 27 Nov (Bernama) — Operasi pemindahan 36 pelajar dan empat pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terkandas banjir di Hat Yai, Thailand akan dilaksanakan pagi ini.
Menerusi hantaran di Facebook, UUM memaklumkan perkara itu akan dilaksanakan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dengan bantuan badan bukan kerajaan (NGO).
“Marilah sama-sama kita berdoa, agar perkara ini dapat dilaksanakan esok (hari ini),” menurut hantaran itu.
Menurut UUM, sebelum ini usaha telah dilakukan melalui bantuan NGO dengan mengerakkan 12 bot untuk memberikan bantuan makanan dan keperluan asas kepada pelajar dan pensyarah yang terlibat di Hotel Wangburapa Grand.
Bagaimanapun, arus terlalu laju menyebabkan bot berkenaan berpatah balik.
UUM memaklumkan berbanding di tempat lain, hotel kediaman pelajar terbabit terletak berdekatan dengan sungai dan paras air telah melebihi satu tingkat hotel berkenaan.
Menurut UUM, keadaan itu tidak memungkinkan kenderaan sama ada kereta atau lori untuk sampai ke hotel tersebut.
Kesemua pelajar dan pensyarah terlibat adalah daripada Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) terkandas sejak 22 Nov lepas, ketika menyertai Program Pertukaran Budaya Thai-MYS 2025.
BACA: Warga Asing Didakwa Bunuh Ibu Dan Anak Di Juru
BACA: Banjir: 29 Sekolah Di Perlis Laksana PdPR Sepenuhnya Bermula Hari Ini
BACA: PM Thailand Arah Agensi Percepat Bantuan Banjir, Bayaran Ganti Rugi
Sumber: Bernama