Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

SPRM Nafi Tuduhan Rafizi Berkaitan Siasatan Terhadap Calon Pemilihan PKR 2025
KUALA LUMPUR (Bernama) — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan tuduhan kononnya SPRM digunakan untuk menyiasat calon-calon yang bertanding pada pemilihan PKR Mei lepas seperti didakwa bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli dalam sebuah audio siar baru-baru ini.
SPRM dalam kenyataan memaklumkan, tuduhan itu tidak berasas, serta siasatan hanya dijalankan berdasarkan aduan atau maklumat yang diterima.
Menurut SPRM, setiap aduan yang mempunyai asas akan melalui proses pengesahan dan siasatan mengikut undang-undang serta prosedur yang ditetapkan.
“Tuduhan bahawa SPRM ‘mengepung rumah’ individu tertentu adalah tidak tepat. Dalam kes yang dirujuk, pegawai penyiasat hadir ke kediaman berkenaan bagi tujuan bertemu serta melaksanakan penggeledahan bagi mendapatkan bahan bukti.
Pada keesokan hari, individu berkenaan telah hadir sendiri ke pejabat SPRM dan rakaman percakapannya diambil serta beliau dibebaskan tanpa penahanan.
Menurut SPRM, semua tindakan adalah selaras dengan keperluan dan tatacara siasatan dan meminta mana-mana pihak yang tidak berpuas hati untuk mengemukakan aduan melalui saluran rasmi yang tersedia, seperti polis atau Jawatankuasa Aduan (JKA) SPRM.
Sehubungan dengan itu, SPRM menyeru semua pihak supaya tidak membuat tohmahan tidak berasas secara terbuka dalam media sosial tanpa bukti kerana ia boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi penguatkuasaan negara.
Sumber: BERNAMA