Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Bangunan Pejabat Di Jakarta Terbakar, 22 Maut
Jakarta — Sebuah bangunan pejabat di Cempaka Baru, Kemayoran terbakar dan mengorbankan seramai 22 orang pada Selasa.
Memetik laporan Kompas.com, jumlah mangsa yang maut itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Metro Jakarta Pusat, Kombes Pol Susatyo Purnomo Condro.
“Selepas semuanya teratur, anggota polis akan mula menjalankan siasatan awal di tempat kejadian, dengan makmal forensik turut hadir untuk mengenal pasti punca kebakaran,” katanya.
Anggota bomba dan polis telah selesai memadam kebakaran di tingkat tiga dan empat bangunan pejabat itu.
Berdasarkan maklumat rasmi Balai Bomba Jakarta (Damkar), kebakaran berlaku sekitar jam 12.40 tengah hari waktu tempatan.
Kebakaran pada mulanya dipadamkan oleh pekerja. Namun, api semakin membesar dan asap merebak ke tingkat enam, lapor Detik.com.
Tidak lama selepas itu, anggota bomba tiba di lokasi untuk melakukan pengendalian awal.
Seramai 101 anggota bomba telah dikerahkan untuk memantau kebakaran tersebut.
Dalam pada itu, Susatyo turut berkata kebakaran disyaki bermula di sebuah gudang bateri di tingkat satu.
“Ada bateri di tingkat satu, itu yang terbakar,” katanya.
Video yang menyaksikan detik-detik ketika kebakaran itu berlaku turut tular di media sosial dan menjadi perhatian ramai.
Menerusi video itu, dapat dilihat beberapa orang berada di bahagian atas bangunan sedang menunggu untuk diselamatkan.
Sumber: Kompas.com, Detik News