Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Gabenor Aceh Umum Bantuan Dari Malaysia Bakal Tiba, Tidak Halang Bantuan Asing
Gabenor Aceh, Muzakir Manaf baru-baru ini menyatakan beliau tidak akan menyusahkan pihak yang ingin memberikan bantuan antarabangsa ke wilayah itu bagi membantu mangsa banjir dan tanah runtuh.
Beliau turut memaklumkan bahawa sudah terdapat sukarelawan dan bantuan logistik yang tiba dari negara jiran, Malaysia.
Seterusnya, bantuan dijangka akan datang dari China bagi membantu proses pencarian mangsa.
“Saya rasa tidak ada larangan. Ia dibenarkan, tidak ada masalah. Mereka datang membantu kita, mengapa pula kita harus menghalang?” kata beliau selepas menghadiri mesyuarat percepatan penanganan bencana di Sumatra.
Setakat ini, bantuan luar negara yang telah tiba di Aceh termasuk dari Malaysia, berupa bekalan ubat-ubatan dan pasukan doktor.
Sementara itu, lima orang sukarelawan dari China telah dihantar untuk membantu operasi mencari mangsa yang tertimbus dalam lumpur.
Gabenor Aceh memaklumkan bahawa gelombang kedua bantuan dari Malaysia dijangka tiba pada 10/12, melibatkan bekalan ubat-ubatan seberat tiga tan.
“Mereka (bantuan dari Malaysia) akan datang pada Rabu membawa tiga tan lagi ubat-ubatan serta pasukan doktor,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Sekretariat Negara, Prasetyo Hadi menyatakan dana bagi Anggaran Pendapatan dan Belanja Negara (APBN) mencukupi untuk menangani bencana banjir bandang yang melanda beberapa wilayah di Pulau Sumatra.
Menurut CNN Indonesia, beliau menjelaskan bahawa kerajaan mempunyai peruntukan dana siap guna untuk tujuan kesiapsiagaan bencana.
Prasetyo turut berkata setakat ini kerajaan belum menerima sebarang bantuan antarabangsa, sambil menegaskan bahawa Pemerintah RI masih mampu menangani krisis bencana yang menimpa Sumatra.
Sumber: CNN Indonesia