Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Amaran Tsunami Dikeluarkan Selepas Gempa Bumi Kuat Landa Perairan Utara Jepun
TOKYO — Amaran tsunami dikeluarkan Agensi Meteorologi Jepun (JMA) selepas gempa bumi kuat 6.7 magnitud berlaku di luar pantai utara negara itu pagi tadi, lapot AFP.
Menurut JMA, pihaknya memberi amaran bahawa gelombang tsunami setinggi satu meter (tiga kaki) berpotensi melanda pesisir Lautan Pasifik utara.
Sementara itu, United States Geological Survey (USGS) turut mengesahkan bahawa gegaran itu berskala 6.7 berlaku 130 kilometer (81 batu) dari bandar Kuji di wilayah Iwate, di pulau utama Honshu.
Penyiar NHK melaporkan bahawa tahap gegaran kali ini lebih rendah berbanding gegaran lebih besar pada lewat Isnin, yang menyebabkan barang jatuh dari rak, merobek jalan raya, memecahkan tingkap, dan mencetuskan gelombang tsunami setinggi 70 sentimeter.
Pihak Berkuasa Kawalan Nuklear Jepun (NRA) menyatakan pada hari ini bahawa tiada tanda segera yang menunjukkan sebarang abnormaliti di fasiliti nuklear di kawasan tersebut.
JMA Ramal Gempa ‘Mega’ Mungkin Berlaku
Selepas gegaran pada hari Isnin, JMA telah mengeluarkan nasihat khas yang jarang berlaku, memberi amaran bahawa gegaran lain dengan magnitud serupa atau lebih besar mungkin berlaku dalam tempoh seminggu.
Nasihat itu merangkumi kawasan Sanriku di hujung timur laut pulau utama Honshu dan pulau utara Hokkaido yang menghadap Lautan Pasifik.
Pada Isnin, Jepun dikejutkan dengan gempa berskala 7.5 magnitud di kawasan yang sama mencederakan sekurang-kurangnya 50 orang.
Lokasi itu juga merupakan antara lokasi yang terkesan gempa bumi pada tahun 2011, yang mencetuskan tsunami dan mengakibatkan kira-kira 18,500 orang mati atau hilang.
Jepun terletak di atas empat plat tektonik utama di sepanjang tepi barat “Cincin Api” Pasifik dan merupakan salah satu negara paling aktif secara seismik di dunia.
Kepulauan ini, yang menempatkan kira-kira 125 juta orang, mengalami sekitar 1,500 gegaran setiap tahun.
Sumber: AFP