Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Tak Mampu Hadapai Situasi Bencana, Ada Penduduk Aceh Kibar Bendera Putih
Jakarta, Indonesia – Bencana banjir di Sumatera kembali mendapat perhatian negara luar berikutan laporan berkenaan kibaran bendera putih penduduk Aceh, menurut CNBC Indonesia.
Sebuah rakaman yang menunjukkan keadaan tersebut dimuat naik di laman agensi berita Singapura, Channel News Asia (CNA).
Menurut laporan berkenaan, kibaran bendera putih itu sebagai tanda penduduk yang sudah tidak mampu menghadapi keadaan di sana.
“Lebih daripada 1,000 orang di Pulau Sumatera terkorban dalam bencana yang berlaku sekitar 25 November,” lapor agensi berkenaan.
Perkara itu ditulis menerusi artikel bertajuk ‘Banjir Sumatera: Penduduk Aceh kibarkan bendera putih tanda putus asa apabila kelaparan dan kekurangan bekalan semakin meruncing’.
“Namun, bantuan daripada kerajaan mengalami kesukaran untuk disampaikan ke beberapa kawasan pedalaman, selain kekurangan bekalan makanan serta bekalan elektrik yang masih belum pulih.
“Masalah kesihatan seperti demam, tifus dan penyakit kulit turut menimpa mangsa yang terselamat.
“Penduduk telah mengibarkan bendera putih di hadapan rumah-rumah di kampung, sepanjang lebuh raya nasional serta di pos kecemasan dan lokasi pemindahan.
“Pejabat-pejabat pihak berkuasa tempatan turut mengibarkan bendera putih sebagai tanda protes, yang digambarkan dakwaan terhadap kelewatan tindak balas kerajaan pusat dalam menangani bencana tersebut, menurut laporan media tempatan.
“Banjir berkenaan telah memusnahkan ribuan rumah dan melumpuhkan ekonomi tempatan. Menurut pegawai kanan kerajaan, kerja pembinaan semula seluruh kawasan terjejas di Sumatera dianggarkan menelan kos sekurang-kurangnya USD3.11 bilion,” lapor CNBC yang memetik laporan CNA.
Difahamkan, salah satu kawasan yang dilapor mengibarkan bendera putih termasuk Aceh Tamiang di Aceh Timur. Kibaran bendera putih turut dilihat di sepanjang lebuh raya nasional yang menghubungkan Banda Aceh dan Medan di Sumatera.
Dalam pada itu, laman AFP turut melaporkan usaha penduduk Aceh yang terjejas akibat banjir untuk terus bertahan.
Dalam artikel bertajuk ‘Penduduk Indonesia terjejas teruk akibat kemusnahan banjir merayu bantuan antarabangsa’, AFP menggambarkan situasi beberapa orang mangsa terselamat yang kini tidak mempunyai tempat bergantung selepas kehilangan rumah dan perniagaan.
“Nurlela Agusfitri tidak mempunyai tempat untuk dituju selepas kehilangan rumah dan perniagaannya akibat banjir besar yang memusnahkan Pulau Sumatera, Indonesia, dan mengorbankan lebih daripada 1,000 nyawa.
“Hampir tiga minggu selepas banjir besar melanda pulau itu, Nurlela yang berusia 40 tahun berjalan tanpa alas kaki merentas pokok-pokok tumbang dan runtuhan, sementara mangsa serta kumpulan masyarakat sivil menggesa bantuan antarabangsa.
“Nurlela berkata, dia telah berpindah bersama dua anaknya apabila air mula menaiki kawasan sekitar rumahnya di Kampung Pengidam.
“Di sana, dia turut menjalankan perniagaan dengan membuka kios yang menjual barangan seperti minyak masak dan gula. Apabila kembali, dia mendapati tiada apa yang tinggal,” lapor AFP.
Laporan berkenaan turut menggambarkan usaha yang telah dilakukan pihak kerajaan. Namun, kekecewaan penduduk masih meningkat.
“Sebelum banjir melanda, puluhan keluarga di kampung Nurlela bergantung kepada hasil ladang kepala sawit dan aktiviti penternakan sebagai sumber pendapatan.
“Namun kini, keadaan berubah sepenuhnya apabila kayu balak dan lumpur menimbus kampung tersebut, sehingga memusnahkan rumah serta ladang kelapa sawit,” lapor laman berkenaan.
Sehubungan dengan itu, Menteri Sosial, Saifullah Yusuf turut mengeluarkan kenyataan bagi menjawab situasi ini.
“Saya percaya gabenor masih cukup kuat, dan pihak berkuasa tempatan juga bekerja dengan baik dengan sokongan kerajaan secara keseluruhan. Marilah kita atasi perkara ini bersama-sama.
“Gabenor bekerja siang dan malam, ketua pegawai daerah serta datuk bandar juga bekerja, manakala pihak lain turut menjalankan tugas masing-masing,” jelas beliau.
Menerusi kenyataan yang sama, beliau turut mengajak semua pihak untuk sama-sama menangani bencana tersebut.
“Mari kita berganding bahu menangani perkara ini secara bersama. Saya percaya, kita masih mampu dan boleh mengatasinya dengan baik. Lebih baik lagi jika wujud kerjasama yang kukuh,” katanya lanjut.
Ketika ditanya berkenaan keperluan mengibarkan bendera putih, beliau menzahirkan keyakinannya terhadap kemampuan seluruh warga Indonesia untuk mengatasi bencana tersebut bersama-sama.
Sumber: CNBC Indonesia, KompasTV