Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Ini Panduan Nak Pilih Aliran Pendidikan Yang Ada Kerjaya “High Demand” Pada Masa Hadapan

Azizah Najib
panduan pilih aliran pendidikan

Ini Panduan Nak Pilih Aliran Pendidikan Yang Ada Kerjaya “High Demand” Pada Masa Hadapan

Saban tahun, kita mendengar pengumuman bermulanya fasa peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di dada akhbar. Diikuti pula fasa keputusan peperiksaan tersebut diumumkan.

Maka bermulalah episod mencari arah tuju kehidupan seterusnya.

Begitu juga dengan peringkat diploma. Sejurus sahaja para graduan turun daripada pentas konvokesyen, soalan yang sama ditanya berulang kali.

“Nak buat apa lepas ni?”

Persoalan yang tiada format jawapan seperti peperiksaan. Tiada buku rujukan yang dapat memberikan jawapan ini, hanya berpandukan tanggapan.

Malah, ramai menganggap aliran akademik lebih baik berbanding aliran teknikal.

Berpusu-pusu ibu bapa mengasak anak-anak untuk menyambung pengajian dalam bidang yang lebih banyak teori berbanding teknikal.

Namun, tanpa kita sedari, alam pekerjaan kian berubah.

Semakin hari, semakin banyak keperluan kepada pengalaman teknikal berbanding teori dalam kebanyakan industri.

Tahukah anda, arah tuju kehidupan kita sebenarnya sedikit sebanyak dipengaruhi oleh dasar yang dibuat oleh kerajaan?

Terbaharu, kerajaan telah memperkenalkan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang matlamatnya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara industri berteknologi tinggi dan lebih berdaya saing dalam pasaran global.

Berikutan itu, lebih 20 sektor menjadi tumpuan kerajaan sepanjang tempoh berkenaan.

Kredit: Bernama

Sektor-sektor ini dijangka berkembang, khususnya melibatkan pemain industri tempatan dan sememangnya, tenaga kerja yang mahir dalam bidang teknikal diperlukan.

Sebelum kita pergi lebih jauh, SK kongsikan bersama pembaca ke mana arah tuju generasi seterusnya yang telah dibentangkan oleh kerajaan.

Arah tuju dunia pendidikan dan pekerjaan menjelang 2030

Sedar atau tidak, industri kini sedang beralih kepada automasi, teknologi hijau, tenaga baharu dan digitalisasi.

Situasi ini menjadikan dunia pekerjaan tidak lagi seperti yang dilalui generasi terdahulu, pagi hingga ke petang duduk di meja menghadap dokumen dan surat yang tidak berkesudahan.

Majikan kini semakin memerlukan pekerja berkemahiran tinggi, selain mempunyai pengetahuan secara teknikal dan praktikal, bukan hanya sekadar teori di atas kertas.

Bagi memastikan kebolehpasaran anak muda dalam skala besar, kerajaan menyenaraikan sebanyak 21 sektor yang menjadi tumpuan NIMP 2030.

Antara sektor yang tersenarai termasuk aeroangkasa, industri besi, kimia, mineral serta digital dan ICT.

Bukan itu sahaja, bidang farmaseutikal, perkapalan dan tekstil turut menjadi tumpuan.

Jangan tak tahu, kesemua bidang ini ada ditawarkan menerusi TVET.

Mari kita kenali lebih mendalam perihal dunia TVET yang sering digembar-gemburkan media kebelakangan ini.

Kredit: Bernama

Apa itu TVET dan mengapa TVET semakin diperlukan?

TVET merupakan ringkasan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (Techincal and Vocational Education and Training).

Bidang ini melatih para pelajar berasaskan kemahiran praktikal agar boleh terus digunakan sejurus pelajar masuk ke dalam industri.

Sebagai contoh, seorang pelajar lepasan TVET boleh menjadi juruteknik, ahli teknologi, penyelia tapak mahupun pereka sistem automasi.

Hatta pada ketika ini juga, kerajaan sedang memperkukuh sistem TVET agar dapat melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir tempatan. Usaha ini dilaksanakan menerusi NIMP 2030.

Apabila anak muda yang tamat pengajian bergelar ‘mahir’ dalam satu-satu bidang itu, satu perkara yang menjadi tanda tanya selama ini terjawab, iaitu peluang pekerjaan dan gaji.

Peluang pekerjaan dan gaji bidang TVET

Menjelang 2030, sektor perkilangan, tenaga, digital dan automasi dijangka menjadi tulang belakang ekonomi, khususnya Malaysia.

Dengan mempersiapkan diri untuk terjun ke dalam sektor ini lebih awal dapat memberi peluang yang lebih luas buat generasi muda.

Tidak dapat dinafikan, bidang TVET mampu menawarkan gaji kompetitif.

Malah, sebagai pengetahuan, ada sektor yang memberi penawaran gaji lebih tinggi daripada pekerjaan di meja pejabat.

Sebagai contoh, antara kerjaya bergaji tinggi yang dapat kita lihat hari ini termasuk juruteknik automasi industri, pakar mekatronik, juruelektrik tenaga hijau dan pengimpal profesional.

Kesemua bidang ini pada asasnya, memerlukan pengalaman praktikal yang lebih banyak di lapangan berbanding teori.

Sembang lebat, masih belum tahu keputusan yang terbaik?

Berikut SK hamparkan panduan yang dapat membantu pembaca membuat pilihan dalam menentukan masa hadapan.

Kredit: Bernama

Panduan untuk pelajar dan ibu bapa buat pilihan bijak

Perkara paling utama yang perlu diambil berat oleh pelajar dan ibu bapa ialah minat dan kekuatan pelajar berkenaan.

Memilih laluan kerjaya yang diminati akan membuatkan pelajar lebih bersemangat meneruskan perjalanan, walau seberat mana ujian dan cabaran mendatang.

Malah minat yang disulami kekuatan dan kebolehan sebenar turut menyumbang kepada kecekalan pelajar dalam menjadi versi terbaik mereka.

Jika dahulu, maklumat amat sukar untuk diperolehi. Namun kini, pelbagai saluran dapat dihubungi bagi mendapatkan maklumat sebelum mempertimbangkan arah tuju.

Pelajar, ibu dan bapa dinasihat agar mendapatkan maklumat secara terus daripada institusi TVET, politeknik, kolej komuniti atau pusat latihan yang diiktiraf.

Akhir kata, dalam menentukan masa hadapan, pandangan kita juga perlu jauh melangkaui zaman. Seharusnya, bidang kerjaya dipilih berdasarkan prospek industri, bukan hanya status berprestij di mata kita.

Usah leka, masa hadapan sedang berubah. Sama sahaja seperti berubahnya haluan kerjaya 20 tahun yang lalu jika dibandingkan dengan zaman sekarang.

Pendidikan teknikal bakal menjadi kunci utama ekonomi negara menjelang 2030 nanti seperti yang dirancang kerajaan.

Ketika itu, generasi yang sudah memulakan langkah awal untuk terjun ke dalam bidang TVET pula menjadi tunjang yang menggerakkan ekonomi negara.

Khusus buat ibu bapa, pandangan yang meletakkan bidang TVET sebagai pilihan kedua perlu diubah. TVET kini terbukti menjadi antara laluan utama masa hadapan yang mampu menjamin kehidupan anak-anak.