Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Aceh Sekali Lagi Dilanda Banjir, Paras Air Meningkat Sehingga Dua Meter
Hujan lebat yang berterusan mengakibatkan beberapa kawasan di Pidie Jaya, wilayah Aceh, sekali lagi dilanda banjir apabila paras air mencecah sehingga dua meter dan menenggelamkan rumah penduduk yang masih dipenuhi lumpur.
Kompas melaporkan hujan lebat yang melanda kawasan terbabit menyebabkan paras air Sungai Meureudu naik semula dan mengalir dengan deras.
Wakil Datuk Bandar Pidie Jaya, Hasan Basri, berkata kira-kira 19 kawasan perkampungan di tiga daerah iaitu Meurah Dua, Meureudu dan Bandar Dua dilaporkan terjejas akibat bencana ini.
“Di daerah Meurah Dua, air mengenangi beberapa kawasan kampung termasuk Desa Dayah Husen, Mancang, Dayah Kruet, Meunasah Raya, Blang Cut, Buangan dan Beuringen
“Kawasan yang terjejas di daerah Meureudu adalah Desa Berawan, Meunasah Lhok, Grong-grong Beracan dan Desa Masjid Tuha-Lhokga
“Di Daerah Bandar Dua, air membanjiri Desa Juelanga, Alue Keutapang, Paya Pisang Klat, Alue Mee, Babah Krueng, Blang Kuta, Drien Tujoh, dan Alue Sane,” ujar beliau.
Ketua Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Pidie Jaya, Muhammad Nur berkata, paras air mencapai antara satu meter sehingga dua meter dan hampir kesemua lapan daerah dilaporkan terjejas
“Pusat pemindahan sementara masih selamat kerana kebanyakannya terletak di kawasan lebih tinggi
“Masyarakat selamat dan tidak panik kerana kita telah memberi amaran terlebih dahulu. Kami menggesa penduduk supaya segera berpindah ke tempat lebih selamat jika bencana banjir semakin teruk,” katanya.
Sementara itu, penduduk tempatan turut mengesahkan banjir telah kembali menenggelamkan kediaman penduduk.
“Pada masa ini, penduduk semakin berwaspada dan intensiti hujan semakin meningkat. Banjir kembali menenggelamkan kediaman penduduk berikutan hujan lebat yang masih belum berhenti,” jelasnya.
Sumber: Kompas