Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ketua UNRWA: 235,000 Penduduk Gaza Terjejas Akibat Kesan Musim Sejuk “Buatan Manusia”
ISTANBUL, 29 Dis (Bernama-Anadolu) — Sekurang-kurangnya 235,000 rakyat Palestin terjejas akibat krisis “buatan manusia” di Gaza susulan sistem cuaca tekanan rendah yang melanda wilayah itu, menurut ketua agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi pelarian Palestin (UNRWA), lapor Anadolu Ajansi.
Ketua Pesuruhjaya UNRWA Philippe Lazzarini berkata peperangan berbulan-bulan dan pemindahan paksa telah memaksa penduduk Gaza hidup di tengah-tengah runtuhan bangunan, tempat perlindungan sementara atau di dalam khemah yang daif.
“Walaupun Ribut Byron merupakan bencana alam, kesan yang ditimbulkannya berpunca daripada perbuatan manusia,” katanya menerusi platform media sosial X.
Hujan lebat dan angin kencang akibat sistem cuaca tekanan rendah telah menyebabkan 17 bangunan runtuh serta kerosakan sepenuhnya atau sebahagian kepada lebih 42,000 khemah atau pusat perlindungan sementara, sekali gus menjejaskan sekurang-kurangnya 235,000 orang antara 10 hingga 17 Dis, menurut Lazzarini memetik data daripada Kluster Perlindungan di Gaza.
Gelombang baharu cuaca tekanan rendah terus melanda Gaza sejak hujung minggu lalu, mengakibatkan kematian dua orang dan memusnahkan puluhan ribu khemah, menurut pasukan pertahanan awam.
Keadaan cuaca buruk menimbulkan bahaya besar kepada rakyat Palestin yang hilang tempat tinggal dan kini menghuni khemah-khemah usang atau bangunan yang rosak terukakibat serangan berterusan Israel sejak Oktober 2023.
Sumber: Bernama