Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tablet Berusia 3,200 Tahun Dedah Alasan “MC” Orang Purba

Hannah
Alasan MC Orang Purba
Gambar: British Museum 

Tablet Berusia 3,200 Tahun Dedah Alasan “MC” Orang Purba

Pada zaman moden hari ini, ketidakhadiran ke tempat kerja lazimnya perlu disertakan dengan alasan yang munasabah.

Antara alasan yang sering diterima termasuklah masalah kesihatan, kematian ahli keluarga, kemalangan, jalan raya sesak atau bencana yang tidak dijangka.

Namun, pernahkah kita terfikir bagaimana masyarakat purba ribuan tahun dahulu menguruskan soal kehadiran bekerja?

Lebih menarik, apakah alasan yang mereka gunakan untuk tidak hadir kerja pada zaman yang belum mengenali e-mel, mesej WhatsApp atau surat rasmi?

Jawapannya ditemui dalam satu artifak luar biasa dari Mesir Purba yang kini disimpan di British Museum.

Rekod kehadiran pekerja zaman purba

Menurut British Museum, artifak tersebut merupakan sebuah “ostracon”, iaitu kepingan batu kapur yang digunakan sebagai medium penulisan pada zaman Mesir Purba.

Tablet ini bertarikh sekitar tahun 1250 Sebelum Masihi, ketika pemerintahan Firaun Ramses II, dan dipercayai berusia kira-kira 3,200 tahun.

Gambar: British Museum

Ostracon ini memaparkan rekod kehadiran pekerja bagi tempoh 280 hari dalam setahun. Ia ditulis menggunakan tulisan Hieratik Mesir Baharu, dengan dakwat hitam dan merah.

Menariknya, dakwat merah digunakan khusus untuk mencatat sebab ketidakhadiran pekerja.

Terdapat 40 nama pekerja disenaraikan dalam lajur, diikuti tarikh dan sebab mereka tidak hadir bekerja pada hari tertentu. Setiap tarikh pula dicatat secara terperinci mengikut musim dan hari.

Alasan ‘popular’ tidak hadir bekerja

Seperti pekerja masa kini, alasan paling lazim untuk tidak hadir kerja pada zaman Mesir Purba ialah masalah kesihatan dan urusan keluarga.

Sebagai contoh, seorang pekerja direkodkan tidak hadir bekerja kerana ibunya jatuh sakit. Seorang lagi kerap direkodkan sebagai ‘mengalami masalah mata’. Manakala ada pula tidak dapat bekerja kerana dipatuk kala jengking.

Selain itu, beberapa pekerja terpaksa mengambil cuti untuk menguruskan proses pembalseman dan pembungkusan jenazah ahli keluarga yang meninggal dunia. Untuk info, ia satu tanggungjawab penting dalam budaya Mesir Purba.

Alasan paling pelik

Namun, apa yang benar-benar mencuri perhatian ialah alasan-alasan yang kedengaran pelik menurut piawaian moden.

Antara alasan yang kerap dicatat ialah ‘membancuh bir’. Di Mesir Purba, bir bukan sekadar minuman santai, sebaliknya merupakan minuman harian yang penting untuk tenaga dan pemakanan.

Bir juga mempunyai kaitan keagamaan, khususnya dengan dewi Hathor. Oleh itu, proses membancuh bir dianggap satu tugas penting yang tidak boleh dipandang ringan.

Selain itu, ada juga pekerja yang tidak hadir kerana ‘mengambil batu’, ‘membantu jurutulis’ atau menjalankan tugasan lain di luar kerja utama mereka.

Salah satu alasan paling luar biasa ialah catatan ‘isteri atau anak perempuan mengalami pendarahan’. Catatan ini merujuk kepada kitaran haid.

BACA: Penjelasan Tentang Amalan Minum Air Pangsa Selepas Makan Durian

Sumber: My Modern Met, British Museum