Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

10 Fakta Menarik Laut Halmahera Yang Ramai Tak Tahu

Laut Halmahera
Kredit: Britannica

Laut Halmahera merupakan sebuah kawasan perairan yang terletak di bahagian tengah-timur Laut Mediterranean Australasia dan memainkan peranan penting dalam aktiviti perkapalan, selain terkenal dengan kepelbagaian biodiversiti marin.

Terletak berhampiran beberapa pulau utama Indonesia, Laut Halmahera turut menjadi tumpuan pelancong yang gemar aktiviti menyelam dan snorkeling, khususnya kerana keindahan terumbu karang serta kehidupan marin yang terdapat di perairannya.

Namun, tahukah anda perairan ini turut menyimpan pelbagai fakta menarik, daripada kepentingannya sebagai laluan perdagangan, kekayaan terumbu karang hinggalah tinggalan sejarah Perang Dunia Kedua?

Hari ini, SK kongsikan 10 fakta menarik mengenai Laut Halmahera yang mungkin ramai belum tahu.

10 fakta menarik Laut Halmahera

  1. Dikelilingi Lautan Pasifik dan beberapa pulau

Laut Halmahera dikelilingi Lautan Pasifik, Pulau Halmahera, Waigeo, Papua Barat serta Laut Seram.

Laut ini meliputi kawasan sekitar 95,000 kilometer persegi dan mempunyai topografi kompleks yang terdiri daripada beberapa lembangan serta rabung. Antaranya ialah Lembangan Halmahera yang mencapai kedalaman kira-kira 2,039 meter.

  1. Halmahera merupakan pulau terbesar di Maluku

Laut Halmahera berkongsi namanya dengan Pulau Halmahera, pulau terbesar di Kepulauan Maluku, Indonesia.

Pulau itu terletak di antara Laut Maluku dan Lautan Pasifik serta mempunyai empat semenanjung dan tiga teluk. Ia meliputi kawasan seluas kira-kira 17,780 kilometer persegi.

Kredit: Gambar Hiasan --Foto Marine Insight

Nama Halmahera dipercayai membawa maksud “tanah air”. Bentuk muka buminya terdiri daripada rangkaian pergunungan setinggi antara 3,000 hingga 5,000 kaki, selain kawasan dataran dan beberapa gunung berapi.

Pulau itu mempunyai tiga gunung berapi aktif, termasuk Gunung Gamkonora yang berketinggian 1,635 meter. Penduduk di kawasan pedalaman bergantung kepada sungai, tasik, pemburuan, perikanan dan hasil hutan untuk kelangsungan hidup, manakala masyarakat di kawasan pesisir mengusahakan tanaman seperti kelapa, bunga cengkih, buah pala dan kopi.

  1. Kedudukan strategik bagi laluan perkapalan

Kedudukannya di antara Lautan Pasifik dan Laut Maluku menjadikan Laut Halmahera sebagai laluan penting bagi kapal yang bergerak antara Lautan Hindi dan Pasifik.

Perairan ini turut digunakan untuk aktiviti perdagangan maritim yang menghubungkan Asia Tenggara, Australia dan Asia Timur.

  1. Mempunyai beberapa pelabuhan penting

Beberapa pelabuhan di sekitar Kepulauan Maluku dan utara Indonesia memainkan peranan penting dalam perdagangan maritim serantau.

Antaranya ialah Pelabuhan Tobelo dan Pelabuhan Sofifi di Pulau Halmahera yang menyokong aktiviti perdagangan, penghantaran kargo serta logistik antara pulau.

Pelabuhan Ternate di Pulau Ternate pula menjadi antara pelabuhan sibuk di wilayah Maluku Utara, dengan pergerakan kapal kargo dan penumpang.

Di Sulawesi, Pelabuhan Bitung yang terletak di pesisir utara turut menjadi kemudahan pelabuhan air dalam yang mengendalikan kargo antarabangsa serta berfungsi sebagai pusat pemindahan kargo bagi kepulauan Indonesia timur.

Sementara itu, Pelabuhan Bacan menyokong industri tempatan, perikanan dan pergerakan kargo berskala kecil antara pulau-pulau berhampiran.

  1. Dipengaruhi pusaran arus yang memberi kesan kepada perkapalan

Laut Halmahera mempunyai pusaran air (eddies) dan sistem arus berpusing (gyres) yang boleh menghasilkan perairan bergelora serta mempengaruhi operasi perkapalan.

Corak arus di kawasan ini turut dipengaruhi oleh Sistem Arus Lintas Indonesia (Indonesian Throughflow atau ITF), yang menghubungkan Lautan Pasifik dan Lautan Hindi melalui kepulauan Indonesia.

Kekuatan arus berubah mengikut musim. Antara Disember hingga Mac, aliran biasanya lebih kuat susulan pengaruh angin monsun, manakala arus menjadi lebih lemah antara Jun hingga September.

Arus yang deras terutama di selat sempit dan sepanjang pesisir Pulau Halmahera memerlukan kapal yang melalui kawasan berkenaan supaya lebih berhati-hati.

  1. Popular sebagai kawasan penangkapan ikan tuna

Laut Halmahera terkenal sebagai kawasan penangkapan ikan tuna, khususnya tuna sirip kuning.

Nelayan lazimnya menggunakan bot kecil dan teknik mata kail serta tali pancing untuk menangkap ikan secara berkumpulan. Mereka turut mengenal pasti lokasi kumpulan tuna melalui petunjuk semula jadi seperti kehadiran burung dan ikan lumba-lumba.

Kredit: Gambar Hiasan --Foto Marine Insight

Hasil tangkapan bagi satu perjalanan boleh mencecah antara 70 hingga 3,000 kilogram. Kaedah penangkapan di permukaan menggunakan mata kail juga menghasilkan kadar tangkapan sampingan yang rendah.

Tuna yang ditangkap kemudiannya dihantar ke pusat pemprosesan tempatan untuk dijadikan produk dalam tin atau dibekukan sebelum dieksport ke pelbagai negara.

  1. Antara kawasan paling kaya dengan biodiversiti terumbu karang

Laut Halmahera terkenal dengan kepelbagaian hidupan marin yang tinggi dan menjadi habitat kepada lebih 3,000 spesies ikan, termasuk barakuda, ikan kakap hitam, tuna, fusilier, sweetlips serta pelbagai spesies jerung.

Antara hidupan marin lain yang boleh ditemui ialah pari manta, penyu karah dan penyu hijau.

Kredit: Gambar Hiasan --Foto Marine Insight

Terletak dalam kawasan Segi Tiga Terumbu Karang (Coral Triangle), Laut Halmahera mempunyai kira-kira 550 spesies karang batu selain pelbagai jenis karang lembut.

Gabungan terumbu karang, hutan bakau, lagun dan arus deras menjadikan kawasan ini antara ekosistem marin paling kaya dengan biodiversiti di dunia.

  1. Laluan penting perdagangan tenaga

Laut Halmahera turut menyediakan laluan strategik bagi kapal tangki minyak dan kapal pengangkut gas asli cecair (LNG) yang membawa bekalan tenaga dari Australia dan Asia Tenggara ke negara seperti China, Korea Selatan dan Jepun.

Penggunaan laluan ini semakin penting susulan peningkatan permintaan tenaga di Asia Timur, khususnya terhadap gas asli.

Pertambahan import LNG oleh China dan Jepun berikutan peralihan kepada sumber tenaga yang lebih bersih turut menyumbang kepada peningkatan trafik kapal pengangkut LNG di kawasan berkenaan.

Sebarang ketegangan geopolitik, ancaman lanun atau gangguan lain berpotensi memberi kesan terhadap harga tenaga dan rantaian bekalan serantau.

  1. Mengalami iklim maritim tropika

Kedudukannya yang berhampiran garisan Khatulistiwa menyebabkan Laut Halmahera mempunyai cuaca panas sepanjang tahun, dengan suhu sekitar 26 hingga 30 darjah Celsius.

Kawasan ini turut mempunyai kelembapan tinggi antara 70 hingga 90 peratus dan menerima jumlah hujan tahunan sekitar 2,000 hingga 3,500 milimeter, bergantung kepada lokasi.

Laut Halmahera dipengaruhi dua musim monsun utama, iaitu Monsun Timur Laut dan Monsun Barat Daya. Monsun Timur Laut lazimnya membawa hujan lebat, angin kencang serta laut bergelora, manakala Monsun Barat Daya lebih sederhana dan menghasilkan keadaan laut yang lebih tenang.

Perubahan cuaca bermusim turut memberi kesan kepada perkapalan, khususnya apabila angin kencang, ribut, jarak penglihatan rendah dan laut bergelora berlaku.

  1. Menyimpan bangkai kapal Perang Dunia Kedua

Laut Halmahera turut mempunyai sejumlah bangkai kapal yang berasal dari era Perang Dunia Kedua kerana kawasan itu pernah menjadi medan pertempuran penting dalam Kempen Pasifik.

Sebahagian bangkai kapal dikaitkan dengan Pertempuran Morotai pada 1944, apabila tentera Amerika Syarikat dan Australia mendarat di Pulau Morotai yang digunakan sebagai pangkalan bagi menyokong usaha membebaskan Filipina.

Kredit: Gambar Hiasan --Foto Marine Insight

Pertempuran tersebut turut melibatkan operasi tentera laut yang menyebabkan beberapa kapal karam. Bangkai kapal berkenaan kini menjadi tinggalan sejarah penting dan antara lokasi yang menarik perhatian penyelam.

Selain itu, kawasan seperti Pulau Pisang dan Pulau Tifore turut terkenal dalam kalangan penyelam kerana landskap bawah air, bangkai kapal dan formasi rabung yang terdapat di sekitarnya.

Dengan kedudukan strategik, kekayaan biodiversiti serta nilai sejarahnya, Laut Halmahera bukan sahaja penting kepada aktiviti perdagangan dan perikanan, malah menjadi antara khazanah marin yang bernilai tinggi di rantau Asia Tenggara.

Intipati
  • Laut Halmahera meliputi kira-kira 95,000 kilometer persegi berhampiran beberapa pulau utama Indonesia.
  • Perairan ini penting untuk perkapalan, perdagangan tenaga, pelabuhan serantau dan aktiviti penangkapan tuna.
  • Kawasan itu kaya biodiversiti marin serta menyimpan bangkai kapal era Perang Dunia Kedua.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan