Ke mana kita pergi apabila mahu mencari maklumat, menonton video atau berhubung dengan kawan-kawan?
Selalunya, jawapannya ada di hujung jari sahaja menerusi laman web yang dibuka setiap hari.
Gajet elektronik seperti telefon pintar, tablet, komputer riba dan lain-lain ibarat nyawa pada setiap orang memandang dunia sekarang lebih menumpukan ke arah pendigitalan
Dalam masa sama, platform media sosial dan beli-belah dalam talian turut menjadi sebahagian daripada rutin ramai pengguna internet.
Berdasarkan data Similarweb bagi September, beberapa laman web popular dunia terus menjadi pilihan rakyat Malaysia.
10 Website Paling Popular Dalam Kalangan Rakyat Malaysia
Google.com menduduki tempat pertama sebagai laman web paling popular di Malaysia. Enjin carian itu menjadi pilihan ramai untuk mencari pelbagai maklumat di internet.
Di tempat kedua ialah YouTube.com, platform perkongsian video yang digunakan untuk hiburan, pembelajaran dan mengikuti perkembangan semasa.
Facebook.com pula berada di kedudukan ketiga, diikuti WhatsApp.com di tempat keempat. Kedua-duanya masih menjadi antara platform yang kerap digunakan untuk berhubung dan mengikuti kandungan dalam talian.
Instagram, TikTok & ChatGPT Turut Dalam Senarai
Instagram.com menduduki tempat kelima, manakala TikTok.com berada di kedudukan keenam. Populariti kedua-dua platform ini memperlihatkan kandungan visual dan video pendek terus mendapat perhatian pengguna.
Menariknya, ChatGPT.com turut berada dalam senarai, di kedudukan ketujuh. Platform kecerdasan buatan (AI) itu kini menjadi antara laman web yang dikunjungi pengguna internet di Malaysia.
Shopee, X & Wikipedia Lengkapkan Senarai
Bagi platform beli-belah dalam talian, Shopee.com.my berada di kedudukan kelapan.
X.com pula menduduki tempat kesembilan, manakala Wikipedia.org melengkapkan senarai 10 laman web paling popular di Malaysia bagi September.

