11 Stesen Minyak Meletup Di Thailand
Sebanyak 11 stesen minyak di selatan Thailand dilaporkan meletup dalam beberapa siri serangan bom awal pagi Ahad, mengakibatkan empat orang cedera, menurut kenyataan pihak tentera Thailand.
Tentera memaklumkan, letupan berlaku dalam tempoh kira-kira 40 minit selepas tengah malam, melibatkan stesen minyak di wilayah Narathiwat, Pattani dan Yala.
Serangan berkenaan mencetuskan kebakaran serta kerosakan pada pam bahan api di beberapa lokasi, lapor AFP.
Gabenor Narathiwat, Boonchauy Homyamyen, berkata sekumpulan lelaki yang tidak diketahui jumlahnya telah meletupkan bom hampir serentak di beberapa stesen minyak. Tindakan tersebut sekali gus menyebabkan seorang anggota polis cedera di wilayah tersebut.
Di Pattani pula, seorang anggota bomba serta dua pekerja stesen minyak dilaporkan cedera akibat insiden berkenaan. Tentera memaklumkan kesemua mangsa telah dibawa ke hospital dan berada dalam keadaan stabil tanpa kecederaan serius.
Setakat ini, pihak berkuasa Thailand belum memaklumkan sebarang tangkapan atau mengesahkan pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.
Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, berkata agensi keselamatan percaya serangan itu merupakan satu isyarat yang berkait dengan pilihan raya pentadbir tempatan yang berlangsung pada hari kejadian, dan tidak bertujuan mencetuskan pemberontakan secara langsung.
Sementara itu, Panglima Tentera di wilayah selatan telah mengarahkan tahap keselamatan dipertingkatkan ke tahap maksimum di semua kawasan, termasuk sekatan jalan raya dan kawalan di sempadan.
Wilayah selatan Thailand, yang majoriti penduduknya beragama Islam dan bersempadan dengan Malaysia, berdepan konflik bersenjata berskala rendah sejak 2004. Konflik tersebut telah mengorbankan ribuan nyawa, dengan pasukan keselamatan Thailand sering menjadi sasaran serangan.
BACA: Penunjuk Perasaan Ingkar Tindakan Keras, Rakaman Video Dedah Pertempuran Ganas Di Iran
Sumber: AFP