Lautan Atlantik bukan sekadar hamparan air yang luas, malah menjadi habitat kepada pelbagai hidupan marin dengan keunikan masing-masing.
Daripada ikan yang mampu merentas lautan berkali-kali setahun, penyu yang boleh menyelam ke laut dalam hinggalah mamalia laut yang terkenal dengan saiz dan kehebatannya, kepelbagaian hidupan di Atlantik sememangnya menarik untuk diterokai.
Berikut antara haiwan yang mempunyai taburan signifikan di Lautan Atlantik:
1. Walrus
Walrus Atlantik banyak ditemui di kawasan antara Artik Kanada hingga Artik Rusia.
Dianggarkan terdapat kira-kira 25,000 ekor walrus di kawasan berkenaan, namun jumlah walrus dewasa dilaporkan terus berkurangan.
Haiwan marin ini mudah dikenali menerusi gading panjangnya dan sifatnya yang gemar hidup secara berkumpulan. Walrus turut menggunakan pelbagai bunyi untuk berkomunikasi antara satu sama lain.
Dietnya terdiri daripada hidupan kecil tidak bertulang belakang dan haiwan ini boleh hidup antara 30 hingga 40 tahun.

2. Dolfin Spinner
Dolfin spinner terkenal dengan aksinya melompat keluar dari permukaan air sebelum berpusing di udara.
Haiwan ini mendiami kawasan laut tropika dan subtropika di seluruh dunia, termasuk kawasan Lautan Atlantik.
Menariknya, dolfin spinner menggunakan bunyi seperti siulan untuk berkomunikasi dan ekolokasi bagi mengenal pasti persekitaran serta mencari makanan.
Ia memakan ikan, sotong dan krustasea.
3. Manatee
Manatee atau lebih dikenali sebagai ‘lembu laut’ gemar mendiami perairan yang lebih panas dan kebanyakannya memakan tumbuhan akuatik.
Haiwan ini boleh membesar sehingga empat meter dengan berat kira-kira 590 kilogram.
Antara ciri menariknya ialah sirip berbentuk seperti pendayung yang digunakan untuk bergerak di dalam air.
Spesies manatee Hindia Barat banyak ditemui di Caribbean dan Teluk Mexico, manakala manatee Afrika Barat pula mendiami perairan di barat Afrika.
4. Pari Helang Berbintik
Pari helang berbintik merupakan sejenis ikan bertulang rawan yang banyak ditemui di kawasan Caribbean dan Teluk Mexico.
Ia mempunyai ekor yang lebih panjang berbanding sesetengah spesies pari lain, manakala muncungnya menyerupai paruh itik.
Haiwan ini memakan krustasea dan ikan kecil. Muncungnya turut digunakan untuk mencari makanan yang tersembunyi di bawah pasir dasar laut.
Walaupun lazimnya hidup bersendirian, pari ini kadangkala dilihat melompat keluar dari permukaan air.
5. Tuna Sirip Biru
Tuna sirip biru antara hidupan laut yang berdepan ancaman akibat aktiviti penangkapan ikan berlebihan.
Ikan ini terkenal kerana menjadi antara pilihan utama dalam hidangan sushi dan mempunyai keupayaan mengekalkan suhu badannya.
Tubuhnya yang berbentuk aerodinamik membantu tuna bergerak pantas, manakala warna birunya membantu ia menyamar dengan persekitaran.
Makanannya termasuk ikan hering, belanak, ikan kembung, sotong, ketam dan udang.
Lebih menarik, tuna sirip biru diketahui mampu merentasi Lautan Atlantik beberapa kali dalam setahun.
6. Jerung Putih Besar
Jerung putih besar merupakan antara pemangsa terbesar di lautan.
Haiwan ini mempunyai kira-kira 300 batang gigi berbentuk segi tiga dengan bahagian tepi bergerigi, sesuai untuk menangkap mangsanya.
Selain lima deria utama, jerung ini turut mempunyai keupayaan mengesan medan elektromagnet.
Makanannya terdiri daripada jerung lain, singa laut, anjing laut, penyu, bangkai dan ikan.
Jerung putih besar boleh membesar sehingga enam meter dengan berat maksimum sekitar 2,268 kilogram.
7. Penyu Hijau
Penyu hijau merupakan reptilia marin yang mendapat namanya daripada lapisan lemak berwarna kehijauan di bawah tempurung.
Tempurungnya boleh hadir dalam pelbagai warna termasuk kuning, hijau, kelabu, hitam dan coklat.
Penyu ini mempunyai tempurung terbesar dalam kalangan spesies penyu laut dan menggunakan kaki hadapannya untuk berenang.
Ketika masih muda, dietnya merangkumi tumbuhan dan haiwan, namun apabila dewasa ia lebih banyak memakan tumbuhan.
Penyu hijau boleh mencapai panjang kira-kira 1.5 meter dengan berat antara 68 hingga 190 kilogram.
8. Penyu Belimbing
Penyu belimbing merupakan antara spesies penyu laut terbesar dan boleh ditemui di beberapa kawasan Lautan Atlantik.
Haiwan ini mampu menyelam ke kedalaman sehingga 1,280 meter.
Berbeza dengan penyu lain, tempurungnya tidak keras sepenuhnya dan mempunyai tekstur yang lebih fleksibel.
Penyu belimbing turut mempunyai sirip hadapan yang lebih panjang berbanding spesies penyu lain.
Ia merupakan haiwan karnivor yang memakan obor-obor, salpa, krustasea dan ikan.
9. Paus Bongkok
Paus bongkok mendapat namanya daripada bentuk sirip dorsal yang kelihatan seperti bonggol.
Haiwan ini terkenal dengan perjalanan migrasi yang sangat jauh, terutama untuk tujuan pembiakan dan mencari makanan.
Dietnya terdiri daripada ikan, plankton dan kril. Seekor paus bongkok boleh memakan sehingga kira-kira 1,360 kilogram makanan sehari.
Ia boleh mencapai panjang sekitar 18 meter dengan berat antara 22,000 hingga 36,000 kilogram.
Menariknya, paus betina lazimnya lebih besar berbanding paus jantan.
10. Narwhal
Narwhal cukup terkenal dengan gading panjang yang sebenarnya merupakan gigi taring kiri yang membesar.
Dalam sesetengah keadaan, gigi sebelah kanan turut berkembang sehingga menghasilkan dua gading.
Haiwan ini tidak mempunyai sirip dorsal, sebaliknya mempunyai struktur beralun pada bahagian belakang.
Narwhal boleh mencapai berat antara 800 hingga 1,600 kilogram dan panjang sekitar 3.95 hingga 5.5 meter.
Gadingnya dipercayai turut berfungsi sebagai organ deria, selain haiwan ini menggunakan ekolokasi untuk mengesan persekitaran.
11. Paus Pembunuh
Paus pembunuh atau orca sebenarnya merupakan anggota terbesar dalam keluarga dolfin.
Haiwan ini mempunyai sirip dada besar yang membantu pergerakannya, selain lapisan lemak di bawah kulit yang berfungsi sebagai penebat.
Orca mempunyai taburan yang sangat luas dan terkenal sebagai haiwan karnivor yang memakan pelbagai jenis hidupan laut.
Antara mangsanya termasuk burung laut, anjing laut, ikan, singa laut, mamalia marin dan sotong.
Orca dewasa boleh mencapai panjang sehingga sembilan meter dengan berat antara 3,600 hingga 5,000 kilogram.
12. Kuda Laut
Kuda laut merupakan sejenis ikan bertulang dan mempunyai kulit nipis berbanding kebanyakan ikan yang mempunyai sisik.
Di bahagian atas kepalanya terdapat struktur seperti mahkota yang dikenali sebagai coronet.
Kuda laut tidak mempunyai gigi dan perut. Ia mendapatkan makanan dengan menyedut mangsa menggunakan rahangnya.
Makanannya terdiri daripada plankton dan krustasea kecil.
Keupayaan menukar warna turut membolehkannya menyesuaikan diri dengan persekitaran.
Paling unik, dalam proses pembiakan, kuda laut jantanlah yang membawa dan melahirkan anak.
13. Anjing Laut Monk Mediterranean
Anjing laut monk Mediterranean antara spesies pinniped paling jarang ditemui di dunia, dengan populasi global dianggarkan kurang daripada 700 ekor.
Ia mempunyai muncung yang pendek, lebar dan rata dengan lubang hidung menghadap ke atas.
Haiwan ini memakan pelbagai jenis ikan, sotong, belut dan sotong kurita.
Ia biasanya mencari makanan pada waktu siang dan boleh hidup sehingga kira-kira 45 tahun.

14. Penguin Raja
Penguin raja merupakan spesies penguin kedua terbesar dan mendiami kawasan selatan Lautan Atlantik.
Haiwan ini boleh mencapai ketinggian sehingga satu meter dengan berat antara 9.3 hingga 18 kilogram.
Diet utamanya terdiri daripada ikan dan kadangkala sotong.
Penguin raja mampu menyelam antara 100 hingga 300 meter untuk mendapatkan makanan dan boleh berada di dalam air sehingga lima minit sebelum kembali ke permukaan.
Seperti spesies penguin lain, ia tidak boleh terbang dan bergerak dengan berjalan atau meluncur di atas ais.
15. Jerung Lemon
Jerung lemon biasanya mendiami perairan cetek yang tidak jauh dari kawasan pantai.
Namanya diambil daripada warna tubuhnya yang boleh kelihatan kuning kecoklatan hingga hijau zaitun.
Jerung ini mempunyai muncung pendek dan bulat serta deria bau yang sangat kuat walaupun penglihatannya agak lemah.
Ia merupakan pemburu pada waktu malam dan menggunakan deria bau serta sistem pengesan elektrik untuk mencari mangsa.
Makanannya termasuk ikan bertulang, burung laut, jerung lebih kecil, krustasea dan moluska.
Jerung lemon boleh membesar sehingga tiga meter panjang dengan berat sekitar 250 kilogram.
Daripada gergasi lautan seperti paus bongkok dan orca hinggalah kuda laut yang kecil, Lautan Atlantik jelas menyimpan kepelbagaian hidupan yang luar biasa.
Setiap satunya mempunyai ciri tersendiri yang menjadikan dunia bawah laut semakin menarik untuk diterokai.

