Apabila bercakap mengenai gurun, ramai mungkin terus membayangkan Sahara di Afrika.
Namun, Asia sebenarnya memiliki antara kawasan gurun paling luas di dunia, membentuk jalur tanah kering yang merentasi Semenanjung Arab, Asia Tengah sehingga ke China dan Mongolia.
Setiap gurun mempunyai karakter tersendiri.
Ada yang dipenuhi lautan pasir sejauh mata memandang, ada yang lebih berbatu dan berkerikil, malah terdapat juga kawasan yang dipenuhi tasik garam.
Lebih menarik, sebahagian gurun ini bukan sekadar kawasan tandus.
Ada yang menyimpan khazanah mineral bernilai tinggi, menjadi habitat haiwan terancam dan menyimpan sejarah tamadun purba.
Jom kenali 18 gurun terbesar dan unik di Asia.
1. Gurun Arab
Dengan keluasan sekitar 2.33 juta kilometer persegi, Gurun Arab merupakan yang terbesar di Asia.
Kawasan ini merentasi beberapa negara termasuk Arab Saudi, Yemen, Oman, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Kuwait serta sebahagian Iraq dan Jordan.
Di sinilah terletaknya Rub' al Khali atau dikenali sebagai Empty Quarter, antara kawasan padang pasir berpasir terbesar di dunia.
Walaupun suhu permukaan pada musim panas boleh mencecah sekitar 50 darjah Celsius, kawasan ini tetap menjadi habitat kepada haiwan seperti oriks Arab, kucing pasir dan gazel.

2. Gurun Gobi
Gurun Gobi meliputi kawasan sekitar 1.295 juta kilometer persegi di selatan Mongolia dan utara China.
Menariknya, tidak seperti kebanyakan gambaran kita tentang gurun, hanya sebahagian kecil Gobi dipenuhi bukit pasir. Sebahagian besar kawasannya terdiri daripada dataran berbatu dan berkerikil.
Suhu di sini juga sangat ekstrem. Musim panas boleh mencapai sekitar 40 darjah Celsius, manakala suhu musim sejuk pula boleh menjunam sehingga minus 40 darjah Celsius.
Gobi turut terkenal sebagai antara kawasan paling penting di dunia untuk penemuan fosil dinosaur.

3. Gurun Karakum
Dengan keluasan kira-kira 350,000 kilometer persegi, Gurun Karakum meliputi sebahagian besar wilayah Turkmenistan.
Namanya membawa maksud 'Pasir Hitam'.
Gurun ini cukup terkenal dengan Kawah Gas Darvaza atau lebih dikenali sebagai 'Door to Hell', sebuah kawah gas yang terbakar sejak beberapa dekad lalu.
Selain itu, kawasan Karakum juga menyimpan sumber minyak dan gas asli yang besar.
4. Gurun Taklamakan
Gurun Taklamakan di wilayah Xinjiang, China, mempunyai keluasan sekitar 337,000 kilometer persegi.
Ia antara gurun pasir bergerak terbesar di dunia, dengan sebahagian besar permukaannya dilitupi bukit pasir.
Nama Taklamakan sering dikaitkan dengan maksud 'tempat tiada jalan pulang', menggambarkan reputasinya yang berbahaya kepada pengembara pada zaman dahulu.
Suatu ketika dahulu, kawasan ini menjadi halangan besar kepada pedagang Laluan Sutera yang terpaksa mengelilingi pinggir gurun untuk meneruskan perjalanan.
5. Gurun Kyzylkum
Gurun Kyzylkum atau 'Pasir Merah' meliputi kawasan sekitar 298,000 kilometer persegi merentasi Uzbekistan, Kazakhstan dan Turkmenistan.
Selain bukit pasir dan dataran garam, kawasan ini terkenal kerana kekayaan sumber mineralnya.
Di sini juga terletaknya Lombong Emas Muruntau, yang disebut sebagai antara lombong emas terbuka terbesar di dunia berdasarkan pengeluaran.
6. Gurun Thar
Gurun Thar meliputi sekitar 200,000 kilometer persegi, dengan sebahagian besar kawasannya terletak di India dan selebihnya di Pakistan.
Apa yang menjadikannya unik ialah Thar merupakan antara gurun yang paling padat didiami manusia.
Walaupun berdepan cuaca kering, penduduk di kawasan ini sejak dahulu menggunakan pelbagai sistem tadahan air untuk meneruskan kehidupan.
Gurun ini juga mempunyai biodiversiti yang agak tinggi berbanding kawasan gurun lain.
7. Dasht-e Margo
Namanya sahaja sudah cukup menggerunkan.
Dasht-e Margo membawa maksud 'Gurun Kematian' dan meliputi kira-kira 150,000 kilometer persegi di barat daya Afghanistan.
Kawasan ini menerima hujan yang sangat sedikit setiap tahun, dengan suhu musim panas dilaporkan boleh melebihi 45 darjah Celsius.
Pendudukannya sangat jarang dan sebahagian kawasan di sekitarnya turut berdepan masalah kemarau serta proses penggurunan yang semakin serius.
8. Gurun Ordos
Gurun Ordos di wilayah Mongolia Dalam, China, mempunyai keluasan sekitar 90,650 kilometer persegi.
Kawasan ini terdiri daripada dua kawasan pasir utama iaitu Gurun Hobq dan Gurun Mu Us.
Selain menjadi kawasan gurun, Ordos juga penting dari sudut ekonomi kerana menyimpan sumber arang batu dan gas asli yang besar.
9. Dasht-e Kavir
Dasht-e Kavir atau Gurun Garam Besar merupakan gurun terbesar di Iran dengan keluasan sekitar 77,600 kilometer persegi.
Landskapnya terbentuk hasil pengumpulan garam apabila air dari kawasan pergunungan mengalir masuk ke dalam lembangan tertutup sebelum menyejat.
Hasilnya, terbentuk kawasan luas yang dipenuhi kerak garam dan dataran garam.
Kawasan ini turut menjadi habitat kepada beberapa spesies termasuk gazel Parsi dan cheetah Asia yang kini berada dalam keadaan sangat terancam.
10. Dasht-e Loot
Dasht-e Loot di Iran mungkin antara kawasan paling ekstrem dalam senarai ini.
Pada 2018, satelit NASA merekodkan suhu permukaan tanah sekitar 80.8 darjah Celsius di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, suhu permukaan tanah tidak sama dengan suhu udara yang biasa direkodkan oleh stesen cuaca.
Selain cuaca panas ekstrem, gurun ini terkenal dengan formasi batu yang diukir angin serta bukit pasir yang menjulang tinggi.
11. Gurun Lop
Gurun Lop terletak di timur Xinjiang, China dan mempunyai keluasan sekitar 50,000 kilometer persegi.
Kawasan ini berpusat di sekitar Lop Nur, sebuah tasik garam yang kini sebahagian besarnya telah kering.
Ia turut menjadi salah satu habitat penting unta Baktria liar, spesies yang kini berada dalam keadaan terancam.
12. Gurun Registan
Gurun Registan meliputi kira-kira 40,000 kilometer persegi di barat daya Afghanistan.
Kawasannya terdiri daripada bukit pasir bergerak, kawasan berbatu dan dataran tanah liat.
Sejak sekian lama, kawasan ini digunakan oleh komuniti nomad sebagai laluan dan kawasan ragutan ternakan.
Namun, masalah penggurunan menyebabkan bukit pasir semakin meluas sehingga memberi kesan kepada kawasan penempatan dan pertanian.
13. Gurun Cholistan
Gurun Cholistan terletak di Punjab, Pakistan dan meliputi sekitar 26,300 kilometer persegi.
Ia bersambung dengan kawasan Gurun Thar di sempadan India dan Pakistan.
Selain terkenal dengan kehidupan komuniti separa nomad, kawasan ini menyimpan tinggalan sejarah penting termasuk laluan sungai purba dan tapak berkaitan Tamadun Lembah Indus.
Di sini juga terdapat Kubu Derawar, sebuah kubu besar yang menjadi antara mercu tanda terkenal kawasan berkenaan.
14. Gurun Thal
Gurun Thal di Punjab, Pakistan, mempunyai keluasan sekitar 20,000 kilometer persegi.
Sebahagian kawasannya telah berubah dengan pembangunan sistem pengairan yang membolehkan aktiviti pertanian dijalankan.
Tanaman seperti gandum, kapas dan kekacang kini diusahakan di kawasan tertentu yang menerima bekalan air.
15. Gurun Kharan
Gurun Kharan turut mempunyai keluasan sekitar 20,000 kilometer persegi dan terletak di wilayah Balochistan, Pakistan.
Landskapnya unik kerana gabungan kawasan berpasir dengan bukit serta formasi berbatu.
Kawasan ini turut mempunyai beberapa penempatan oasis, manakala aktiviti tradisional penduduk termasuk penternakan dan penghasilan kraftangan.
16. Gurun Lembah Indus
Gurun ini meliputi sekitar 19,500 kilometer persegi di wilayah Punjab, Pakistan.
Cuacanya sangat berubah mengikut musim, dengan suhu musim panas boleh melebihi 45 darjah Celsius, manakala musim sejuk pula boleh menjadi jauh lebih sejuk.
Kawasan ini turut menjadi habitat kepada pelbagai hidupan liar termasuk dubuk belang, karakal dan biri-biri liar.
17. Gurun Maranjab
Gurun Maranjab terletak di Iran dan mungkin lebih kecil berbanding beberapa gurun gergasi lain dalam senarai ini.
Namun, ia cukup popular sebagai destinasi pelancongan dan aktiviti lasak.
Antara tarikan utama di kawasan itu ialah karavanserai bersejarah yang dibina pada era Safavid serta pemandangan tasik garam dan bukit pasir.
18. Gurun Polond
Gurun Polond, yang juga dikenali sebagai Gurun Mozaffari, terletak di wilayah South Khorasan, Iran.
Kawasan ini terkenal dengan gabungan bukit pasir, gunung berbatu dan formasi semula jadi yang unik.
Salah satu tarikan paling terkenal ialah bukit pasir berbentuk melengkung yang dikenali sebagai 'Cheetah's Tail' kerana rupanya menyerupai ekor haiwan itu.
Kawasan perlindungan di sekitarnya turut menjadi habitat kepada beberapa spesies seperti gazel Parsi dan kambing liar.
Mengapa Asia Mempunyai Begitu Banyak Gurun?
Kewujudan begitu banyak gurun di Asia sebenarnya dipengaruhi beberapa faktor semula jadi.
Antaranya ialah kedudukan kawasan tertentu dalam zon tekanan tinggi subtropika, jaraknya yang terlalu jauh dari laut serta kesan bayang hujan akibat banjaran gunung besar seperti Himalaya dan Dataran Tinggi Tibet.
Gunung-gunung ini menghalang sebahagian besar kelembapan daripada sampai ke kawasan pedalaman Asia.
Ada juga gurun yang terbentuk dalam lembangan tertutup, menyebabkan air yang masuk tidak dapat mengalir keluar sebelum tersejat dan meninggalkan garam.
Di sebalik imej tandus dan gersang, gurun-gurun Asia sebenarnya menyimpan pelbagai cerita.
Daripada fosil dinosaur di Gobi, laluan pedagang purba di Taklamakan, suhu ekstrem di Dasht-e Loot hinggalah kekayaan mineral di Kyzylkum, setiap kawasan mempunyai sejarah dan keistimewaan tersendiri.
Malah, kawasan yang kelihatan seolah-olah 'tiada kehidupan' ini turut menjadi rumah kepada pelbagai spesies haiwan yang berjaya menyesuaikan diri dengan antara persekitaran paling mencabar di dunia.

