Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

200 Anggota Rela Perlis Mulakan Tugas Esok

KANGAR, 31 Mei – Seramai 200 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) negeri Perlis akan bertugas bagi membantu penguat kuasa melaksanakan sekatan pergerakan penuh yang akan bermula esok.

Pengarah Rela Perlis Ahmad Muazzan Shah Mohd Salleh berkata tugas Rela pada kali ini berbeza daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 kerana tidak banyak Sekatan Jalan Raya (SJR) di Perlis.

“Penugasan Rela pada PKP 3.0 lebih kepada memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di tempat tumpuan awam seperti pasar raya, kedai runcit, kedai makan, hospital, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ahmad Muazzan Shah berkata hanya anggota yang telah melengkapkan suntikan dos kedua vaksin COVID-19 yang dibenarkan bertugas.

“Sehingga kini seramai 350 anggota yang aktif telah mendapat suntikan vaksin COVID-19,” katanya.

Beliau menasihati anggota Rela yang bertugas di lapangan agar sentiasa menjaga SOP dan kebersihan kendiri bagi mengelak jangkitan wabak COVID-19.

“Saya juga menggalakkan anggota Rela agar menggunakan dua keping pelitup muka serta pelindung muka ketika berada di tempat awam yang sesak dan berisiko tinggi sepertimana nasihat Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah,” katanya.

— BERNAMA