Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

28 Tahun Jalan Kaki Keliling Dunia, Karl Bushby Akhirnya Kembali Ke Pangkuan Ibu

Karl Bushby Jalan Kaki Keliling dunia
Kredit: Facebook Karl Bushby & BBC

Bayangkan meninggalkan rumah ketika berusia 29 tahun, kemudian hanya kembali selepas 28 tahun dengan perjalanan sejauh 50,000 kilometer merentasi empat benua.

Itulah yang dilakukan pengembara Britain, Karl Bushby apabila dia akhirnya menamatkan perjalanan panjang dari Amerika Selatan ke Hull, United Kingdom.

Lebih menyentuh hati, kepulangannya disambut ibunya, Angela Bushby yang sudah hampir tiga dekad menantikan saat anaknya kembali ke rumah.

Segalanya bermula pada November 1998 apabila bekas anggota pasukan payung terjun itu memulakan perjalanan dari Punta Arenas, Chile dengan satu matlamat iaitu berjalan pulang ke Britain.

Namun, dia menetapkan dua peraturan yang perlu dipatuhi sepanjang pengembaraan tersebut, termasuk tidak pulang ke Britain sebelum perjalanan selesai dan tidak menggunakan pengangkutan untuk memendekkan laluan.

Karl Bushby Jalan Kaki Keliling dunia

Sepanjang perjalanan, Bushby berdepan pelbagai cabaran termasuk meredah hutan tebal Jurang Darién serta menyeberangi Selat Bering yang membeku.

Tidak cukup dengan itu, dia turut berenang merentasi Selat Inggeris sebagai sebahagian daripada perjalanan pulangnya.

Selepas 28 tahun, segala penat lelah itu akhirnya terbayar apabila Bushby tiba di hadapan rumah keluarganya di Sutton Park.

Sebaik tiba, dia tidak dapat menyembunyikan perasaan apabila menyedari perjalanan yang memakan hampir separuh hayatnya sudah berakhir.

“Seronok rasanya dapat pulang. Semuanya terasa seperti tidak nyata,” katanya.

Ibunya yang sudah sedekad tidak bertemu anaknya turut menyambut kepulangan itu dengan satu pertanyaan ringkas.

“Ke mana sahaja kamu pergi selama ini?” katanya kepada Bushby.

Angela turut meluahkan rasa lega apabila akhirnya dapat menyambut kepulangan anaknya selepas sekian lama menunggu.

“Seronok rasanya dapat menyambut kepulangannya. Saya berasa sangat lega,” katanya.

Sambutan itu bukan sahaja melibatkan ibunya, malah Bushby turut bertemu anak lelaki berusia 36 tahun, cucu perempuan berusia 12 tahun yang belum pernah ditemuinya, bapanya serta adik-beradiknya.

Pertemuan tersebut berlangsung ketika dia menyeberangi Jambatan Humber untuk memasuki kawasan East Yorkshire sebelum meneruskan perjalanan pulang.

Bushby menyifatkan pertemuan semula bersama keluarganya sebagai pengalaman yang sangat menakjubkan.

Bagaimanapun, menamatkan perjalanan selama 28 tahun bukan bermakna segala-galanya terus kembali seperti biasa.

Dia mengakui mungkin mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan tanpa rutin mengembara yang sudah menjadi sebahagian daripada identitinya.

“Segala perkara yang membentuk diri saya dan semua yang saya kenali tentang diri sendiri mungkin akan hilang. Itu akan menjadi satu masalah,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan seterusnya, Bushby berkata dia masih mempunyai banyak kisah untuk dikongsikan, termasuk melalui sebuah dokumentari bersama pengarah terkenal Jerman, Werner Herzog.

Dia juga sedang menyiapkan buku kedua mengenai pengalaman sepanjang mengembara.

Menariknya, daripada keseluruhan 28 tahun itu, hanya sekitar 15 tahun dihabiskan dengan berjalan kaki.

Selebihnya digunakan untuk menguruskan permohonan visa serta menghadapi pelbagai kelewatan termasuk krisis ekonomi global 2007 dan pandemik COVID-19.

Bushby juga pernah menetap sementara di Mexico kerana kos sara hidup lebih rendah sebelum menyambung perjalanan.

Ketika mula bertolak, dia hanyalah seorang pengembara tanpa wang yang bergantung kepada bantuan orang lain untuk meneruskan kehidupan.

Malah, dia pernah memakan makanan yang dibuang di tepi jalan kerana kesukaran mendapatkan bekalan makanan.

Namun, selepas bertahun-tahun merantau, dia berjaya mendapatkan tajaan, tawaran menerbitkan buku dan peluang menghasilkan dokumentari.

Kini, selepas 28 tahun mengejar satu impian, Bushby akhirnya tiba di tempat yang selama ini ingin ditujunya iaitu rumah sendiri.

Sumber:BBC,Instagram
Intipati
  • Karl Bushby kembali ke Hull selepas 28 tahun berjalan dari Amerika Selatan.
  • Perjalanannya merentasi empat benua, termasuk Jurang Darién, Selat Bering dan Selat Inggeris.
  • Bushby kini merancang berkongsi pengalaman melalui dokumentari dan buku keduanya.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan